Polis terima kertas siasatan 1MDB dengan arahan baharu Peguam Negara


Low Han Shaun

Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya sudah menerima kertas siasatan 1MDB dengan arahan terbaharu Peguam Negara untuk membuka semula kes itu. – Gambar Youtube, 1 November, 2017.

POLIS sudah menerima kertas siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan arahan daripada Peguam Negara untuk membuka semula kes terbabit, kata Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim hari ini. 

Semalam, Peguam Negara Apandi Ali berkata beliau mengarahkan polis untuk membuka semula siasatan selepas Jabatan Peguam Negara mendapati terdapat kekurangan bukti. 

Noor Rashid berkata, polis akan melihat semula arahan Jabatan Peguam Negara yang disertakan dengan kertas siasatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya. 

“Kami juga sebahagian dalam pasukan siasatan dan kami menerima kertas siasatan daripada Jabatan Peguam Negara. 

“Kami melihat arahan itu dan akan menjalankan apa yang diarahkan Peguam Negara, namun saya tidak boleh dedahkannya kerana ia masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita pada sambutan Deepavali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini. 

Di Parlimen awal minggu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman berkata polis telah diarahkan untuk membuka semula siasatan 1MDB.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, yang bertanya sama ada Peguam Negara sudah mengarahkan siasatan baharu ke atas syarikat pelaburan negara itu pada 24 Oktober.

Polis memulakan siasatan ke atas 1MDB pada 2015 berikutan laporan yang dibuat oleh ahli Umno Langkawi, Anina Saadudin berhubung RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun peribadi milik Perdana Mneteri Najib Razak pada 2013 yang tidak mencerminkan akaun Umno.

Kemudiannya, Bank Negara Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan mereka sendiri ke atas 1MDB dan derma.

Bagaimanapun, pada Ogos 2015, Peguam Negara Gani Patail bersara atas sebab kesihatan, selepas itu Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed dan timbalannya Mohd Shukri Abdul bersara, siasatan 1MDB terhenti.

Pada Januari tahun lalu, Peguam Negara yang baharu Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada apa-apa salah laku dan berkata wang derma itu adalah hadiah daripada keluarga diraja Arab Saudi. – 1 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen