Menteri pendidikan untuk golongan miskin, kurang upaya dan terpencil 


Sheridan Mahavera

Dr Maszlee Malik beri keutamaan kepada pelajar berkeperluan khas, anak dari keluarga miskin dan Orang Asli sepanjang 20 bulan beliau menjadi menteri pendidikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2020.

KANAK-kanak berkeperluan khas. Kanak-kanak yang ke sekolah tanpa sarapan pagi. Kanak-kanak dari keluarga miskin. Kanak-kanak tanpa kewarganegaraan. Anak-anak Orang Asli.

Golongan ini yang paling diberi perhatian oleh Dr Maszlee Malik sepanjang 20 bulan beliau menjadi menteri pendidikan sebelum menamatkan khidmatnya pada permulaan penggal baharu persekolahan.

Malah, hampir separuh pencapaian yang dibanggakan Maszlee dan disenaraikan dalam kad pelaporan 2019 kementeriannya, adalah dasar yang digubal untuk anak-anak ini.

Pendekatan ini bertepatan dengan apa yang Maszlee pernah beritahu The Malaysian Insight pada wawancara pertamanya selepas dilantik memegang portfolio itu pada September 2018.

Maszlee memberitahu wartawan bahawa beliau mahu terapkan nilai kecintaan dan saling menghormati dalam sistem pendidikan yang beliau rasakan terlalu obses dengan gred dan kedudukan.

Malah bekas pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengambil alih portfolio selepas pentadbiran Najib Razak memfokuskan kepada genius kanak-kanak dan menaikkan kedudukan universiti di peringkat global.

Dalam salah satu pengumuman pertamanya, Maszlee menggesa pentadbir universiti untuk tidak terlalu obses dengan kedudukan tetapi lebih memfokuskan untuk melahirkan graduan berintegriti dan memiliki tanggungjawab sosial.

“Maszlee telah melakukan banyak perkara baik pembaharuan seperti mengutamakan kanak-kanak berkeperluan khas dan menaik taraf sekolah luar bandar,” kata penganalisis politik Azlan Zainal dari Ilham Centre.

“Bagaimanapun semua ini tidak menjadi keutamaan partinya kerana pelaksanaan dasar ini tidak dibuat secara kolektif.”

Seorang lagi penganalisis politik Dr Wong Chin Huat berkata, program sarapan percuma Maszlee, yang dijadualkan bermula tahun ini, telah memberi perhatian kepada masalah kekurangan nutrisi dalam kalangan anak-anak dari keluarga miskin.

Dr Maszlee Malik turut memberi tumpuan kepada pelajar universiti terdiri daripada keluarga B40.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2020.

Kajian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu pada 2017 mendapati hampir satu daripada lima atau 205 kanak-kanak di negara ini yang berumur bawah lima tahun terbantut kerana keluarga tidak mampu memberikan makanan berkhasiat.

Bagaimanapun, dasar itu gagal menarik sokongan ibu bapa dari kelas pertengahan, kata Wong dari Sunway University.

Membantu golongan memerlukan

Pada 2019, kementerian telah membuka 526 kelas baharu untuk kanak-kanak berkeperluan khas sebagai sebahagian daripada dasar penolakan sifar kanak-kanak berkeperluan khas di sekolah.

Kini terdapat 88,419 kanak-kanak berkeperluan khas atau MBK, meningkat berbanding 83,498 tahun lalu, menurut laporan KPM.

Tahun lalu, kelas baharu murid MBK bermula di 75 buah sekolah menjadikan jumlah keseluruhan kelas itu kepada 10,200.

Pada 2019, kementeriannya turut menerima 2,636 kanak-kanak yang tiada dokumen pengenalan diri ke sekolah.

Antara kejayaannya yang tidak diketahui adalah kemasukan 51,191 pelajar dari keluarga miskin dan berpendaoatan rendah ke universiti awam.

Antara pencapaian lain dalam membantu keluarga kurang bernasib baik adalah:

* 52.8% pengambilan di sekolah bantuan kerajaan melibatkan kumpulan B40.

* 62.06% temoat matrikulasi di universiti awam diberi kepada anak kumpulan B40.

* RM68.1 juta biasiswa untuk pelajar ini.

* 4,369 pelajar tercicir dicari dan dimasukkan semula ke sekolah.

* 90% atau 452 daripada 534 bangunan sekolah yang rosak dibaiki dan digunakan semula, manakala 1,216 makmal sains sekolah dinaik taraf.

* Sebanyak 14,911 tawaran khas penempatan di universiti untuk MBK, anak-anak Orang Asli, anak B40 dan atlet.

Maszlee turut menubuhkan dua jawatankuasa khas untuk memantau pendidikan Orang Asli dan keperluan murid MBK dan pelajar sekolah dan institusi pendidikan.

Ketika meletakkan jawatan, belia turut berusaha untuk menggubal undang-undang bagi mewajibkan pendidikan sekolah sehingga ke peringkat menengah.

Selain kanak-kanak yang kurang bernasib baik, Maszlee juga memberi tumpuan untuk mereformasi universiti awam, mempromosikan kebebasan akademik dan autonomi dan menanamkan intelektualisme. – 3 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen