PUTRAJAYA menganggap pengganas warga Malaysia, Mahmud Ahmad terkorban di Filipina walaupun mayatnya masih belum ditemui pihak berkuasa Filipina, kata Hishammuddin Hussein Onn.
Menteri pertahanan dan tugas-tugas khas itu berkata pihak berkuasa Malaysia sudah mengambil DNA ahli keluarga Mahmud bagi tujuan pengecaman sebagai persediaan jika mayatnya dijumpai.
“Kita memang tak boleh nak sahkan sehinggalah kita menemui mayat dia. Hakikatnya, dia tidak lagi ‘kelihatan’ di laman sosial media untuk menghantar dan memberi arahan.
“Dan hakikatnya juga kumpulan pengganas itu tidak menggembar-gemburkan yang dia masih hidup. Jadi kita anggap dia sudah tidak efektif dan untuk itu kita boleh anggap dia sudah mati,” katanya pada sidang media selepas majlis Penyerahan Bangunan Memorial Tun Hussien Onn di Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun beliau boleh mengesahkan Marawi di Filipina kini sudah bebas daripada pengaruh pengganas.
Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun pada Oktober lalu juga mengesahkan menerima maklumat mengenai kejadian tersebut tetapi masih menunggu pengesahan rasmi.
Mahmud menyertai kumpulan Maute yang diinspirasikan daripada Isis. – 1 November, 2017.
Komen