KUMPULAN nelayan di Teluk Kumbar, Pulau Pinang membantah cadangan pembinaan sebuah unit asrama pekerja asing di perkampungan mereka, yang dikhuatiri akan menjejaskan kawasan kediaman dan mata pencarian.
Mereka juga bingung dengan cadangan pembinaan blok asrama setinggi 29 tingkat kerana langsung tidak dimaklumkan mengenainya.
Mengikut laman web Majlis Bandaraya Pulau Pinang, projek itu dimajukan oleh Zantalite Entreprise (M) Sdn Bhd.
Selain asrama, projek berkenaan juga meliputi sebuah blok pangsapuri 28 tingkat dan satu blok komersial 21 tingkat, yang bagaimanapun tidak dibantah oleh kumpulan nelayan.
Mereka sebaliknya membantah pembinaan asrama itu kerana bimbang ia akan menjejaskan kampung nelayan di Gertak Sanggul di Teluk Kumbar.
Ketua Unit Nelayan Gertak Sanggul Chooi Sooi Kong berkata, beliau hanya dimaklumkan mengenai projek asrama berkenaan minggu lepas setelah diberikan satu notis daripada Majlis Bandaraya Pulau Pulau Pinang (MBPP).
Jelasnya, pembinaan asrama itu akan menambah warga asing di kawasan mereka yang seterusya boleh mengancam penduduk tempatan.
Chooi menyebut bancian penduduk pada 2010 yang mencatatkan Gertak Sanggul mempunyai 925 orang dengan pecahan 61% Cina dan 34% Melayu.

Asrama itu sebaliknya boleh menampung lebih 10,000 orang, dengan 18 orang di setiap 623 unit, katanya, merujuk garis panduan yang dimaklumkan kepada mereka.
“Jika projek ini dijalankan maka jumlah warga asing akan melebihi penduduk setempat.
“Jika 18 orang mendiami 623 unit asrama, maka lebih daripada 10,000 ribu warga asing bakal menetap di Gertak Sanggul,” katanya dalam sidang media di Kampung Bagan, Gertak Sanggul, Pulau Pinang, hari ini.
Chooi juga hairan kenapa asrama pekerja asing hendak dibina di kawasan itu sedangkan Teluk Kumbar bukan kawasan perindustrian.
“Mengikut garis panduan perancangan pembinaan asrama pekerja di Pulau Pinang, zon pembinaan asrama pekerja hanya dibenarkan di dalam zon perniagaan dan zon industri ringan sahaja.
“Kawasan cadangan pembinaan asrama ini dengan jelas melanggar garis panduan kerana kawasan ini mempunyai aliran trafik yang tinggi dan di sini bukannya kawasan kilang atau tapak pembinaan,” katanya.

Tambah Chooi, antara lima atau enam tahun lepas, pihak pemaju pernah menawarkan sebuah unit rumah kepada 37 keluarga nelayan jika bersetuju dengan pembinaan asrama berkenaan.
Sebuah tokong Cina juga akan dipindahkan jika mereka bersetuju dengan projek itu.
Kebanyakan nelayan pada awalnya bersetuju tetapi mereka tidak diberitahu tentang pembinaan asrama pekerja warga asing yang kini menjadi alasan mereka mahu projek itu dibatalkan.
Bagi Ketua Unit Nelayan Teluk Kumbar Roslizan Ramli,setakat ini belum ada mana-mana pihak sama ada pemaju atau pihak kerajaan negeri tampil untuk menjelaskan projek tersebut.
Beliau juga kesal mereka kini dibebankan dengan satu lagi projek baharu sedangkan isu pembinaan tiga pulau buatan di Selatan Pulau Pinang belum juga lagi selesai.
“Kalau pangsapuri nak dibina untuk didiami komuniti nelayan kami pun gembira.
“Tetapi ini untuk orang luar dan warga asing, habis bagaimana dengan kehidupan kami?”
“Yang menjadi mangsa adalah penduduk setempat,” tegas beliau.
Beliau juga menggesa pihak kerajaan negeri membatalkan projek kerana komuniti nelayan tidak mendapat apa- apa manfaat.
“Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar merupakan kawasan perkampungan nelayan dan industri kampung(kecil) seperti pertanian, kebun durian dan kawasan penternakan ikan.
Projek ini bukan sahaja tidak mendatangkan kebaikan kepada penduduk setempat, malah akan memberi kesan yang amat mendalam kepada pembangunan fizikal dan rohani penduduk setempat,” tambahnya lagi. – 1 Januari, 2020.
Komen