MENTERI Kewangan Lim Guan Eng memberi bayangan akan ada beberapa lagi “berita baik” yang akan diumumkan oleh kerajaan tidak lama lagi, susulan pelaksanaan harga baru tol di jambatan kedua Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini.
Mulai hari ini, harga tol bagi kenderaan persendirian di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ialah RM7, turun RM1.50 daripada RM8.50 sebelum ini.
“Hari ini kita boleh anggap sebagai hari keramat untuk jambatan kedua kerana penurunan kadar tol ini adalah berita baik kepada pengguna jalan raya.
“Kita harap akan ada lebih banyak berita baik dalam hari akan datang.
“Tolong tunggu pengumuman,” katanya kepada wartawan selepas melakukan lawatan di jambatan itu, pagi tadi.
Dua hari lalu, Lim berkata Jemaah Menteri minggu depan akan membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan lebuh raya Plus Malaysia Bhd, dan empat lebuh raya di Lembah Klang yang ada kaitan dengan Gamuda Bhd.
Katanya, keputusan itu perlu dibuat segera bagi mengelak kerajaan terpaksa membayar pampasan lebih tinggi kepada pengendali tol.
Pengambilalihan lebuh raya tol Plus dijangka akan membawa kepada pemberian diskaun purata sekurang-kurangnya 18% atas harga tol, seperti yang diumum oleh Lim semasa pembentangan Belanjawan 2020.
Langkah itu akan memberi penjimatan kepada pengguna lebuh raya tersebut sehingga RM1,130 juta pada tahun 2020, dan RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038, katanya.
Sementara itu, Lim berharap kadar baru tol di jambatan kedua akan menggalakkan orang ramai menggunakan jambatan itu, selain merancakkan ekonomi di kawasan sekitarnya.
“Dengan pengurangan kadar tol ini kita dapat seimbangkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang.
“Ia bukan hanya dapat mengurangkan kos dan perbelanjaan pengguna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah malah kita lihat akan memberi manfaat sampingan dan akan membawa pertumbuhan ekonomi di rantau ini,” tambahnya .
Harga baru tol di jambatan kedua itu diumumkan juga semasa pembentangan Belanjawan 2020, bertujuan menyeragamkan kadar tol antara Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. – 1 Januari, 2020.
Komen