Mohamad Alamin diumum calon BN untuk PRK Kimanis


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin (kiri) bersama Mohamad Alamin (tengah) selepas pengumuman calon yang akan bertanding pada PRK Kimanis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 1 Januari ,2020.

BEKAS Adun Bongawan, Mohamad Alamin dinamakan sebagai calon Umno untuk pilihan raya kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari kelak.

Mohamad, juga ketua Umno Kimanis adalah pemimpin yang popular di kawasan itu, kata Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.

“Kami membuat empat pusingan penyaringan calon, dan kami percaya beliau calon yang tepat untuk memimpin Umno-BN untuk mencapai kemenangan dalam PRK,” katanya di pejabat Umno Kimanis.

Turut hadir ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, setiausaha agung Annuar Musa dan pemimpin parti lain.

Mohmad berusia 47 tahun merupakan kacukan Kadazan Dusun-Brunei dan bekerja sebagai peguam.

Beliau dijangka berdepan cabaran satu lawan satu dengan calon Warisan.

Parti Warisan yang memerintah Sabah masih belum menamakan calon tetapi antara nama yang disebut adalah Karim Bujang yang kalah tipis pada pilihan raya umum yang lepas.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Dis mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam PRU14 pada Mei 2018.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.
 
Pada PRU14, Anifah yang juga bekas menteri luar bertanding atas tiket BN dan memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi apabila memperoleh 11,942 undi. 

Anifah mengumumkan keluar UMNO, parti komponen BN pada September 2018 dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas.

Pada 18 Jun 2018, Karim memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan Anifah.

Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis mengandungi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara. – 1 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen