Dego Ride sasar buka 5,000 peluang pekerjaan untuk belia B40, kata Syed Saddiq


Ragananthini Vethasalam

Syed Saddiq mencuba perkhidmatan Dego Ride pada majlis pelancaran perkhidmatan itu di Taman Melawati, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Januari, 2020.

DEGO Ride akan kembali beroperasi semula sebagai perkhidmatan e-hailing motosikal pertama di Malaysia.

Perkhidmatan itu akan mula beroperasi di Lembah Klang hari ini.

Diasaskan oleh Nabil Feisal Bamadhaj, perkhidmatan itu mula beroperasi pada 2016 tetapi diharamkan pada 2017.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Dego Ride akan membuka 5,000 peluang pekerjaan bagi penunggang motosikal dengan anggaran gaji antara RM1,500 dan RM3,500.

Beliau juga memuji inisiatif perkhidmatan itu yang menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda B40 yang memiliki motosikal.

“1 Januari 2020 merupakan hari bersejarah. Hari ini adalah permulaan perkhidmatan e-hailing motosikal di Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran pusat operasi Dego Ride di Taman Melawati, Kuala Lumpur hari ini.

Dego mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) semalam.

Nabil berkata penunggang yang layak perlu berusia 18 tahun ke atas dengan memiliki lesen penuh, insurans dan motosikal sendiri dengan kapasiti 150cc ke atas.

Bagaimanapun katanya motosikal yang diubahsuai tidak dibenarkan untuk perkhidmatan ini.

“Lebih 4,000 pengunggang sudah mendaftar tetapi kita hanya boleh meluluskan 750 akaun untuk hari ini dan esok. Kita akan memperluaskan proses kelulusan secepat mungkin.

“Kita mempunyai ramai penunggang wanita tetapi kita menggalakkan lebih ramai menyertai perkhidmatan ini kerana kebanyakan pembonceng yang menggunakan Dego Ride adalah wanita,” katanya.

Mengenai kebimbangan tertentu, Nabil berkata penunggang lelaki boleh berkhidmat untuk penumpang lelaki dan begitu sebaliknya.

“Ramai wanita yang bekerja di pusat beli belah habis tugas pada pukul 12 tengah malam. Mereka perlu pulang ke rumah dengan selamat dan tidak bergantung kepada rakan mereka atau perkhidmatan pengangkutan lain yang lebih mahal. Jadi kita bantu mereka dengan cara ini,” katanya.

Najib berkata beliau sedia meluaskan perkhidmatan itu ke luar Lembah Klang dalam tempoh tiga bulan lagi. – 1 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen