PENYIASAT sudah mengenal pasti sumber yang kemungkinan besar terbabit dalam kejadian kebocoran data membabitkan 46 juta nombor telefon bimbit baru-baru ini yang didedahkan oleh forum online Lowyat.net.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak berkata siasatan itu sudah hampir siap.
Sumber rapat dengan siasatan itu memberitahu The Malaysian Insight yang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjejaki alamat protokol Internet (IP) entiti terbabit yang memuat naik data bocor ke Lowyat.net dua minggu lalu.
IP dan posting asal yang membuat tawaran untuk menjual data peribadi rakyat Malaysia itu dijejaki kepada satu alamat di luar negara.
Lowyat.net berkata individu yang cuba menjual data peribadi berjuta rakyat Malaysia itu, cuba untuk membuat keuntungan dengan cepat.
Salleh berkata beliau mengadakan mesyuarat dengan semua syarikat telekomunikasi semalam untuk membincangkan perkara itu.
“Polis dan SKMM sedang bekerjasama dengan SKMM dalam menyiasat kes itu,” katanya.
LowYat.net berkata kebocoran data itu termasuk nombor pasca bayar dan pra bayar, alamat pelanggan serta butiran kad SIM daripada semua operator utama termasuk DiGi, Celcom, Maxis, Tunetalk, Redtone dan Altel.
“Cap waktu di fail yang kami muat turun menunjukkan kali terakhir data yang bocor itu dikemas kini ialah antara Mei dan Julai 2014 bagi pelbagai syarikat telekomunikasi,” kata Lowyat.net dipetik daripada TheStar.
Laman web itu berkata butiran berkaitan data itu diserahkan kepada SKMM.
Katanya, ia juga berkongsi dengan SKMM bagaimana cara Lowyat.net mendapatkan semua data itu.
Selain syarikat telekomunikasi, pangkalan data Majlis Perubatan Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia Persatuan Pergigian Malaysia turut terjejas.
Berita mengenai kebocoran data itu didedahkan dalam satu laporan bertajuk “Personal data of millions of Malaysians up for sale, sources of breach still unknown”, disiarkan di laman web teknologi popular itu pada 19 Oktober.
Laporan itu mendakwa data peribadi jutaan rakyat Malaysia daripada pangkalan data portal dan persatuan perubatan, selain rekod lebih 50 juta pelanggan pelbagai syarikat telekomunikasi, sedang dijual di atas talian. Maklumat yang diambil daripada syarikat telekomunikasi dilaporkan termasuk nama pelanggan, alamat, nombor telefon bimbit dan kad pengenalan.
Artikel itu diturunkan atas arahan SKMM pada 19 Oktober tidak lama selepas ia disiarkan. Pengendalinya kemudian mengeluarkan satu kenyataan menjelaskan yang arahan menurunkan laporan itu sebagai langkah pencegahan.
Lowyat.net kemudian memuat naik semula artikel asal pada 20 Oktober dengan kebenaran SKMM tetapi tanpa maklumat kebocoran data. – 1 November, 2017.
Komen