Pakatan perlu fokus tangani isu agama dan kaum, kata ahli akademik


Chan Kok Leong

Rakyat Malaysia sudah mula membandingkan BN dan PH, dan dakwaan bahawa wujudnya daulah terpendam terhadap mereka akan menyukarkan lagi Pakatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2020.

MEMASUKI tahun 2020, Pakatan Harapan (PH) tidak boleh hilang arah dan fokus terhadap isu kaum serta agama dalam menjayakan agenda pembaharuannya, kata pakar akademik.

Ketika Putrajaya meningkatkan usaha menangani isu rasuah, cabaran terbesar kerajaan PH yang perlu dihadapi ketika ini antaranya isu Jawi, kempen Dahulukan Produk Muslim (BMF) dan kontroversi yang dicetuskan pendakwah Islam Dr Zakir Naik.

Menurut Prof Dr Helen Ting dari Universiti Kebangsaan Malaysia, satu masalah yang berlaku dalam PH adalah kerajaan menangani itu tersebut secara sementara, bukannya secara konsisten.

“Mereka menanganinya tanpa memikirkan persediaan yang lebih baik berbanding pembangkang.

“Akhirnya, mereka terpaksa mengikut arus dan bergeser sesama sendiri untuk menjadi jaguh bagi kaum masing-masing,” katanya.

Ting, pakar dalam bidang politik perkauman dan hubungan sosial, berkata memang sudah dijangkakan PH akan cuba sesuatu yang berbeza selepas memecah dominasi Barisan Nasional (BN) dalam politik.
 
“Namun mereka seperti kehilangan arah dan mula bermain isu perkauman daripada fokus untuk mentadbir,” katanya.

“Sejak Kongres Maruah Melayu (KMM), orang bukan Melayu melihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjadi bebanan besar kepada PH kerana beliau dianggap berat sebelah. 

“Beliau bercakap sebagai pemimpin Melayu, seorang ahli politik Melayu, berbanding sebagai pemimpin negara yang cuba menyatukan negara. Ini amat malang.”

Ting berkata isu seperti KMM memakan diri kerana PH tidak berjaya mendapat lebih banyak sokongan orang Melayu, malah kehilangan sokongan bukan Melayu.

Pakatan Harapan perlu lebih sepakat dalam pendirian dan tindakan menangani isu sensitif kaum dan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2020.

Sementara itu, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata selain barisan Kabinet PH dilihat kurang berpengalaman walaupun sibuk menangani isu bebanan kewwangan yang ditinggalkan BN.

“Kekurangan pengalaman menyebabkan mereka lemah dalam membuat keputusan, kurang bertanggungjawab dan menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong mereka sendiri serta rakyat,” kata Mazlan.

“Rakyat Malaysia sudah mula membandingkan BN dan PH, dan dakwaan bahawa wujudnya daulah terpendam terhadap mereka akan menyukarkan lagi Pakatan.”

Bagaimanapun, kata pensyarah politik dan dasar awam itu, “kesilapan terbesar” PH setakat ini dalam soal kaum dan agama adalah tolak ansurnya terhadap tuduhan tidak berasas dilempar BN dan PAS.

“Antara penipuan yang disebarkan pembangkang adalah tentang PH yang mahu menghapuskan sistem beraja dan menutup Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Walaupun dakwaan ini tidak berasas, ia mencetuskan panik dalam kalangan orang Islam.

“Dan walaupun banyak penipuan di luar sana, kita tak nampak sebarang cubaan untuk menyiasat atau mendakwa individu-individu terlibat.”

Katanya, 2020 akan menjadi tahun lebih sukar jika PH terus berkelakuan begitu.

“Malah ia mungkin memecah belahkan keharmonian parti dalam PH.”

Putrajaya perlu berani bertindak dan berpendirian tegas dalam isu kaum dan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2020.

Konsensus jelas diperlukan

Seperti perpaduan yang dicapai PH ketika berkempen menentang BN pada 2018, kata Ting, pakatan pemerintah perlu sependapat dalam isu-isu utama.

“Selepas mempunyai konsensus, mereka perlu bersetuju dengan pendekatan mereka terhadap dasar cenderung kaum, sekolah vernakular, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Jawi, dan lain-lain.

“Mereka perlu meluahkan naratif nasional aliran tengah dengan jelas, berpegang kepadangnya, menyokongnya dengan dasar kukuh dan menjelaskan rasional pelaksanaan sejelasnya.

“Walaupun jika rakyat tidak bersetuju, PH perlu jelaskan pendirian mereka dan buatkan rakyat faham dengan rasional dasar utama,” kata ahli Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) itu lagi.

Tambahnya, PH perlu mempunyai dasar tengah bagi mendekati semua lapisan masyarakat dan tidak perlu takut akan hilang sokongan kumpulan pelampau haluan kanan dan kiri.

Bagi Mazlan pula, agensi maklumat kerajaan gagal menyerakkan maklumat tentang dasar dan program pemerintah.

“(Jabatan) Maklumat tak berkesan dalam memerangi persepsi dan tuduhan salah berkaitan dengan isu kaum dan agama.

“PH mungkin percaya dengan konsep kebebasan bersuara dan keadilan semua itu, tetapi ia perlu lebih tegas dalam menangani pihak tidak bertanggungjawab dan isu sensitif.” – 2 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen