Dr Mahathir gembira lihat pembangunan Putrajaya


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengilhamkan pembinaan Putrajaya selepas merasakan negara memerlukan pusat pentadbiran yang baharu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad gembira dapat melihat pembangunan bandar yang diilhamkannya Putrajaya dalam tempoh 25 tahun.

Dr Mahathir berkata, pembangunan tersebut dapat dicapai hasil daripada perpaduan kaum dan keamanan yang dikecapi di negara ini.

“Saya amat gembira kerana dapat juga melihat Putrajaya ini berumur 25 tahun. Sebenarnya saya tidak mimpi untuk melihat acara seperti ini.

“Tetapi demikan kerjasama, perpaduan, kestabilan, dan keamanan negara kita sehingga dapat bangunkan kota pentadbiran yang gilang gemilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Jubli Perak Putrajaya serentak penutup Festival Light and Motion Putrajaya 2019 (Lampu 2019) di Dataran Putrajaya, Presint 3 malam ini.

Turut hadir, isteri perdana menteri, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Aminuddin Hassim.

Terdahulu, perdana menteri yang tiba pada jam 10 malam itu turut bersama rakyat menyaksikan persembahan Lampu selain daripada persembahan percikan bunga api.

Putrajaya merupakan ilham Dr Mahathir selepas merasakan negara memerlukan pusat pentadbiran yang baharu.

Putrajaya diisytiharkan secara rasmi sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2001. – 31 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen