PEMILIK premis makanan dinasihatkan meminta kad kuasa pegawai yang menjalankan penguatkuasaan larangan merokok.
Ia bagi mengelakkan pemilik premis berkenaan daripada ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyamar sebagai pegawai penguatkuasa yang mahu mengugut pemilik dan pelanggan.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, kementerian sedia maklum mengenai kebimbangan ini dan akan memastikan setiap pegawai terlibat menunjukkan kad pengenalan mereka ketika menjalankan tugas.
“Kementerian akan menghantar kira-kira 5,300 pegawai penguatkuasa, yang mana setiap seorang daripada mereka diberikan kad pengenalan. Pengendali restoran tidak perlu bimbang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sekiranya terdapat pegawai yang gagal menunjukkan kad pengenalan mereka, pengendali premis perlu maklumkan kepada kementerian, tambahnya.
Sementara itu, pemain industri merasakan mereka lebih bersedia untuk membantu menguatkuasakan larangan berkenaan di premis mereka berbanding ketika ia mula diperkenalkan pada 1 Januari, 2019.
Walaupun digazet, undang-undang itu tidak dikuatkuasakan tahun ini. Sebaliknya kementerian menjadikan 2019 sebagai tempoh pendidikan larangan merokok untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
Presiden Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya, Cheah Poo Kuan berkata, kebanyakan pemilik restoran telah bersedia kerana tahun lalu banyak membantu pelanggan membiasakan diri dengan larangan berkenaan.
“Sejak ia diperkenalkan tahun lalu, kebanyakan pelanggan sudah jadi biasa dengannya, jadi kita menjangkakan tidak banyak masalah,” kata Cheah.
Sementara itu, William Lee dari Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Teh Cina Kuala Lumpur bersetuju dan berkata berdasarkan pemerhatian yang dibuat, pelanggan yang mahu merokok akan keluar dari premis mereka.

“Merokok bukanlah sesuatu yang mudah untuk berhenti namun kebanyakan pelanggan sudah biasa dengan larangan ini dan akan keluar dari restoran untuk merokok.”
Lee turut mencadangkan kementerian memansuhkan jarak 3 meter antara perokok dan premis makanan, dan mengatakan memadai dengan keluar dari premis untuk merokok sebelum kembali ke meja mereka.
Presiden Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors’ General Association Ho Su Mong merasakan kementerian masih perlu membenarkan bilik atau ruang merokok di premis makanan berbanding menguatkuasakan larangan sepenuhnya.
“Ini dilaksanakan di tempat seperti Singapura, Jepun dan Belanda. Mengapa kita tidak belajar dari negara membangun?”
Ho berkata, beliau juga tidak pasti mengenai peranan pemilik premis sekiranya pelanggan enggan mematuhi larangan berkenaan.
Di bawah undang-undang, kedua-dua perokok dan pemilik premis boleh didenda, dan beliau berharap pegawai penguatkuasa akan bertimbang rasa terhadap pengendali premis yang tidak mahu kehilangan pelanggan.
“Jika pelanggan berkeras mahu merokok, bagaimana kami mahu halang mereka kerana kami tidak mahu kehilangan mereka? Saya harap pegawai penguatkuasa dapat pertimbangkan perkara ini,” kata Ho.
Pemilik premis merasakan apa yang boleh mereka lakukan ialah memastikan papan tanda larangan merokok dipasang, namun penguatkuasaan di luar kuasa mereka.
Dr Lee memberitahu The Malaysian Insight selagi premis makanan mempunyai papan tanda “Dilarang Merokok” sebagaimana yang diperlukan dan tidak menggalakkan amalan merokok, pegawai penguatkuasa tidak akan saman mereka.
Ini termasuk tidak meletakkan bekas habuk rokok di atas meja.
“Saman akan dukeluarkan sekiranya pemilik premis didapati menggalakkan perokok merokok di premis makanan mereka,” katanya.
Larangan merokok di premis makanan adalah di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.
Orang awam boleh melaporkan kesalahan itu kepada Kementerian Kesihatan di talian 03-8892 4530 pada waktu peejabat atau melalui WhatsApp di talian 010-860 8949, dengan nama dan alamat premis makanan, foto perokok, masa dan tarikh insiden.
Premis makanan yang gagal meletakkan papan tanda larangan merokok juga boleh dilaporkan kepada kementerian.
Sementara itu, orang awam masih berbelah bahagi dengan pelaksanaan peraturan ini. Seroang jurujual hany mahu dikenali sebagai Siow, 46, mempersoalkan siapa yang akan mengira jarak perokok 3 meter dari premis makanan apabila merokok.
Ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Chen, 40 berkata Malaysia terlalu terburu-buru dalam melaksanakan larangan itu tanpa persediaan seperti memastikan tong sampah di luar premis bagi memastikan perokok tidak membuang sampah.
Bagi pihak yang optimis, pelajar berusia 18 tahun, Liu Kai Shuan berkata, lebih ramai perokok seolah-olah mematuhi larangan itu sepanjang tempoh kesedaran sebelum ini.
“Bagaimanapun, saya masih merasakan kerajaan perlu hormati golongan perokok dengan membenarkan ruang merokok,” katanya.– 1 Januari, 2020.
Komen