Nelayan Pulau Pinang atur lebih banyak protes sepanjang 2020


Zaim Ibrahim

Menurut mereka, komuniti nelayan semakin sedar projek tambakan laut di PSR akan memusnahkan kehidupan mereka untuk mencari rezeki.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2020.

2019 merupakan tahun yang amat sibuk bagi para nelayan di Pulau Pinang.

Sewaktu mereka tidak mencari rezeki di laut, hampir 5,000 nelayan yang berdaftar seluruh negeri pulau mutiara ini mengadakan siri protes terhadap projek tambah laut di Selatan Pulau Pinang (PSR).

Walau tidak diendahkan kerajaan, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan bantahan, kata Timbalan Pengerusi Persatuan Persatuan Nelayan Pulau Pinang Mahadi Md Rodzi.

“Protes kami agresif apabila tiada sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri. Makin hari, kita makin tegas.

“Bagi kita, tanggungjawab menentang projek tersebut adalah demi kepentingan komuniti nelayan dan sumber hidupan laut.

“Kita akan teruskan bantahan, kerana sokongan daripada nelayan pun kian bertambah,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insight di Batu Maung, Pulau Pinang.

Beberapa siri mesyuarat sudah dibuat untuk mengatur acara protes lebih besar sepanjang 2020, katanya yang percaya mendapat sokongan lebih ramai nelayan. 

Beliau berkata komuniti nelayan semakin sedar projek tambakan laut di PSR akan memusnahkan kehidupan mereka untuk mencari rezeki.

Perkara ini dapat dilihat seperti penambakan laut di kawasan Tanjung Tokong untuk projek Seri Tanjung Pinang 1 (STP1) dan Seri Tanjung Pinang 2 (STP2), katanya.

“Kawasan itu diambil secara keseluruhan, sedangkan kawasan itu kaya dengan bawal, ketam, dan udang.

“Apabila tambak, hilang terus kawasan itu. Tetapi nelayan setempat hanya diberikan pampasan sebanyak RM15,000. Memang tidak cukup kerana, kemusnahan itu mengakibatkan hilang sumber hidupan laut.

“Kini, mereka pula tercari-cari kawasan menangkap ikan di tempat yang lebih jauh untuk mencari ikan untuk dijual,” tambahnya.

Projek STP1 seluas 97 hektar dan STP2 seluas 307 hektar dimulakan pada 1997 bagi memajukan kawasan Tanjung Tokong sebagai hab pembangunan baharu.

Projek itu turut menjejaskan pendapatan nelayan di kawasan lain seperti dari Kuala Muda dan Teluk Air Tawar di kawasan Seberang Perai untuk menangkap ikan.

Ia mendorong nelayan ini mengadakan beberapa siri protes termasuk di hadapan bangunan Parlimen, bangunan DUN di hadapan pejabat Ketua Menteri Chow Kon Yew.

Ia mendapat sokongan aktivis dan juga Menteri Pertanian dan Asas Tani, Salahuddin Ayub yang bimbang projek itu akan menjejaskan 5,000 nelayan dan lebih 500 penternak akuakultur.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim juga pernah mengadakan dialog dengan para nelayan dan berjanji akan membawa bantahan mereka kepada Chow Kon Yew.

Namun, November lepas, kerajaan negeri mengumumkan Rancangan Struktur (RSN) Pulau Pinang 2030 diluluskan termasuk projek pulau buatan di selatan Pulau Pinang.

Ia dikecam Mahadi yang menyifatkan kelulusan projek itu sebagai bukti kerajaan negeri tidak mendengar bantahan nelayan.

“Sepanjang tahun 2018 hinggalah 2019, kita hanya berjumpa sekali sahaja dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yew.  Tetapi, tiada apa-apa hasil selepas perjumpaan tersebut.

“Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Dr Afif Bahardin pun tidak pernah adakan perbincangan secara formal dengan kami. Beliau memang berjumpa nelayan tetapi yang tertentu saja,” katanya.

Walaupun terdapat laporan mendakwa kerajaan negeri akan berunding dengan mereka tetapi sepanjang 2019, persatuan nelayan tidak pernah dibawa ke meja rundingan, katanya.

Jelas Mahadi, bantahan mereka selama ini adalah ke atas pulau buatan dan bukan untuk menuntut pampasan.

“Kita tidak berminat untuk cakap mengenai pampasan. Yang kita minat ialah bantah projek.

“Setakat ini, tiada perbincangan tentang pampasan diadakan sepanjang 2019, kalau ada pun mungkin pihak kerajaan berjumpa dengan beberapa nelayan tanpa melalui persatuan,” katanya.

Dalam kenyataan pada Oktober lalu, Dr Afif berkata kajian menunjukkan tangkapan hasil laut di kawasan sekitar PSR merosot sejak 10 tahun lalu dan semakin kurang dikunjungi nelayan.

Generasi muda juga tidak berminat menjadi nelayan, katanya yang menambah, masalah ekosistem di situ akan diatasi dengan tukun tiruan dan penanaman semula hutan kayu bakau. – 1 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen