AHLI Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungahm, Pulau Pinang Teh Yee Cheu yang memperjuangkan kepentingan alam sekitar, akan meninggalkan DAP sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.
Keberaniannya meluahkan sesuatu yang salah pada pandangannya, walaupun ia tidak sehaluan dengan rakan dalam DAP, menyebabkan beliau dipuji dan dihormati, dan membantunya menang mudah pada PRU 2013.
Kelantangan Teh juga menyebabkan beliau dicaci, dan merancang untuk keluar DAP sejak beberapa tahun terakhir ini kerana kecewa tidak dapat mempengaruhi kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menggubal perubahan kepada alam sekitar dan dasar politik.
“Saya membangkitkan isu pembangunan di Pulau Pinang dan hak masyarakat transgender. Saya juga mendesak tempoh pentadbiran ketua menteri dihadkan pada dua penggal.
“Ini tiga isu utama yang saya perjuangkan,” katanya dalam temu bual bersama The Malaysian Insight.
“Dalam sidang dewan undangan negeri (DUN), bila saya bangkitkan isu itu yang mungkin sensitif kepada kerajaan negeri, rakan sekerja saya akan cuba pertahankan pentadbiran ketika perbahasan,” katanya.
Pendirian Teh terhadap isu alam sekitar menyebabkan beliau diulit kontroversi. Pada November 2015 beliau menyokong usul Barisan Nasional dalam sidang DUN berhubung cadangan penambakan tanah dibawa ke pendengaran awam dan kajian terhadap kesan alam sekitar dan laut diperincikan.
Apabila usul itu ditolak, Teh dipaksa untuk meminta maaf kepada pemimpin DAP.
Sementara beliau masih mempertimbangkan untuk keluar parti sejak akhir-akhir ini, kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah bulan lalu yang menyebabkan 11 maut akhirnya menjadi pendorong untuk beliau meninggalkan DAP.
“Tanah runtuh di tapak pembinaan di Lorong Lembah Permai 3 berlaku. Saya jumpa beberapa wartawan dan perkara itu timbul lagi. Saya diminta mengesahkan adakah saya benar-benar meninggalkan DAP.
“Semua yang berlaku ini, mempercepatkan tindakan saya keluar parti.
Teh berkata kemasukan Dr Mahathir Mohamad, pengerusi Bersatu ke dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) meyakinkannya yang visi pembangkang kini tidak sama lagi dengan dirinya.
“Ia bukan tentang Bersatu sebagai sebuah parti. Ia tentang prinsip.
“Saya rasa DAP, bersama PKR dan Amanah sudah pun berada di laluan yang betul. Bersatu masuk, mahu menawan Putrajaya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Apa ideologi Bersatu? Ia hanya tentang menyingkirkan seseorang. Apa selepas itu? Ia tidak ada ideologi yang jelas, hala tuju jelas untuk negara,” katanya.
Teh berkata Dr Mahathir, individu yang dipersalahkannya terhadap “banyak masalah yang kita hadapi sekarang” hanya mempergunakan pembangkang untuk kepentingan dirinya sendiri.
“Dia masuk, tanpa minta maaf; dan sekarang dia mengetuai pembangkang. Dulu dia tidak peduli pun fasal pembangkang, tetapi sekarang dia gunakan pembangkang.”
Teh berkata beliau akan secara rasmi keluar parti yang disokongnya selama 18 tahun selepas Parlimen dibubarkan.
Graduan sains marin berusia 59 tahun itu menyertai DAP pada 1999, dan sering membantu di pejabat lama parti di Jalan Talipon, dengan menjawab panggilan telefon, menyapu sampah dan membersihkan tandas, selepas DAP hilang pengaruh susulan pengundi marah parti itu bersekutu dengan parti Islam PAS.
Hari ini, DAP mempunyai paling banyak kerusi di DUN Pulau Pinang – 19 daripada 40 – dan kerusi Parlimen paling banyak dalam kalangan parti pembangkang iaitu 36 di Dewan Rakyat.
Teh berkata beliau belum memutuskan apa yang akan dilakukan selepas meninggalkan DAP, tetapi tidak menolak kemungkinan menyertai parti kecil untuk meneruskan perjuangannya untuk perubahan.
“Pada masa ini saya masih wakil rakyat DAP. Saya akan buat keputusan selepas tamat penggal, dan ucap selamat tinggal pada DAP.
“Yang pasti saya tidak akan sertai BN, mana-mana parti berkait dengan BN, parti PH yang lain, atau bebas,” katanya, menambah beliau masih percaya kepada perjuangan pembangkang.
Di bawah ialah sedutan temu bual Teh bersama The Malaysian Insight:
TMI: Apa yang membuatkan anda mahu masuk politik dan menyertai DAP pada 1999?
Teh: Saya percaya kepada sistem dua parti. Saya rasa ia mungkin untuk Malaysia mempunyai sistem itu. Kita lihat apa jadi di Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan negara lain. Saya fikir ia boleh di Malaysia, di mana kuasa rakyat akan membawa perubahan.
Tetapi pada masa itu, PKR masih parti yang belum begitu terkenal. Bila saya pergi ceramah DAP, saya lihat parti itu mendapat respons yang bagus. Ia kelihatan seperti angin perubahan akan datang, tetapi tidak. Saya fikir ia tindakan tepat untuk menyertai DAP dan membantu dalam perjuangannya untuk perubahan.
Parti itu nampak seperti ia memerlukan bantuan pada masa itu. Tidak ada sesiapa mahu sertai DAP pada 1999. Pada pilihan raya umum tahun itu, parti itu hanya menang satu kerusi di Pulau Pinang. Batu Lanchang, rasanya.
Jika DAP menang besar dan ambil Pulau Pinang, saya mungkin tidak akan menyertainya. Ia tidak memerlukan ahli baharu seperti saya.
Tetapi pada masa itu pun, saya selalu terfikir yang saya akan tinggalkan DAP satu hari nanti, bila parti itu sudah kuat. Ia sudah pun kuat, jadi saya akan pergi sekarang.
TMI: Bila anda buat keputusan untuk berhenti?
Teh: Pada konvensyen DAP Pulau Pinang 2015, saya teruk dikritik kerana apa yang cuba saya perjuangkan. Konvensyen itu digunakan untuk mengkritik saya, seolah-olah memberitahu perwakilan supaya jangan undi saya.
Ia buat saya rasa teruk. Saya fikir tidak baik mereka buat begitu. Dari situ seterusnya, saya mula berfikir mengenai kedudukan saya dalam parti. Tahun lalu, bila ada cakap-cakap mengenai pilihan raya tergempar di Pulau Pinang, saya terfikir hendak keluar pada masa itu. Tetapi pilihan raya itu tidak jadi, saya terpaksa tunggu lagi masa yang sesuai.
Pada Jun, saya bertemu wartawan Kwong Wah (Jit Poh) dan secara bersahaja menyebut mahu keluar DAP. Saya kata hari Parlimen dibubarkan akan jadi hari saya keluar parti. Media Cina lapor kenyataan saya. Pada masa itu, media lain tidak tahu.
Kemudian berlaku tanah runtuh di Lorong Lembah Permai 3 pada 21 Oktober. Saya jumpa beberapa wartawan dan perkara sama dibangkitkan. Saya diminta mengesahkan adakah saya akan keluar DAP. Semua perkembangan ini mempercepatkan tindakan saya untuk keluar.
Ada ramai orang di kawasan Lembah Permai marah. Ada kenyataan pihak berkuasa yang mengatakan tapak pembinaan di tanah landai. Tanya mana-mana penduduk di sini sama ada tanah itu landai atau tidak.
Mereka pun tak tahu sama ada hendak ketawa atau menangis. Semua ini menyebabkan saya berharap Parlimen dibubarkan bulan depan.
TMI: Adakah ini kerana parti tidak mendengar cakap anda?
Teh: Terdapat juga penstrukturan semula PH dengan Bersatu turut serta. Ia bukan tentang Bersatu sebagai sebuah parti, ia hanya tentang prinsip.
Saya rasa DAP, bersama PKR dan Amanah sudah pun berada di laluan yang betul. Bersatu masuk, mahu menawan Putrajaya.
Apa ideologi Bersatu? Ia hanya tentang menyingkirkan seseorang. Apa selepas itu? Ia tidak ada ideologi yang jelas, hala tuju jelas untuk negara. Saya dengar ada veteran DAP, yang menjadi ahli lama sebelum 2008, turut tidak bersetuju.
Dr Mahathir juga menjadi faktor. Dia sebabkan banya banyak masalah yang kita hadapi sekarang. Dia masuk, tanpa minta maaf; dan sekarang dia mengetuai pembangkang. Dulu dia tidak peduli pun fasal pembangkang, tetapi sekarang dia gunakan pembangkang.
Banyak isu berkaitan sistem. Untuk parti yang tidak begitu muda lagi – berusia beberapa dekad – kepimpinannya perlu berubah beberapa kali, tetapi kita masih tidak nampak. Jadi tidak banyak yang berubah.
Di bawah pentadbiran Kerk Kim Hock, tempoh perkhidmatan setiausaha agung DAP had untuk tiga penggal. Beberapa tahun lalu, perlembagaan parti mengehadkan tempoh pengerusi negeri kepada tiga penggal juga. Tetapi had seperti itu tidak ada untuk pengerusi kebangsaan.
Sekarang, PH berjanji untuk mengehadkan tempoh perdana menteri pada dua penggal jika ia menawan Putrajaya. Prinsip sama patut diguna pakai untuk ketua menteri dan menteri besar, kan?
Bila ada had penggal, pemimpin akan kerja keras, buat yang terbaik untuk capai matlamat dan melunaskan janji kepada rakyat dalam tempoh masa ditetapkan.
Ia bagus untuk rakyat juga. Sekarang, tempoh tiada had. Rakyat boleh pilih untuk tidak memberi, dan generasi pemimpin masa depan tidak dipersiapkan untuk memastikan kesinambungan. – 1 November, 2017.
Komen