Ahli akademik kecam soalan 'berat sebelah' peperiksaan Unimap


Mustafa K. Anuar

Pakar sains politik Dr Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, "Matlamat utama kursus Hubungan Etnik ialah memupuk pemahaman dan empati pelajar-pelajar universiti dari pelbagai kumpulan etnik dan agama di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2019.

KERTAS peperiksaan mengenai hubungan etnik yang ditetapkan di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) baru-baru ini adalah berat sebelah dan tidak bertanggungjawab, kata ahli akademik.

Soalan tersebut bertanya kenapa pendakwah India kontroversi Zakir Naik, yang dikatakan sebagai ikon dunia Islam, tidak lagi dilayan dengan baik di Malaysia.

Soalan sebegitu rupa dilihat seakan indoktrinasi, tegas ahli akademik, sekaligus menggesa audit dilakukan ke atas kursus dan sukatan pelajaran universiti tersebut.

Pakar sains politik Dr Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, “Matlamat utama kursus Hubungan Etnik ialah memupuk pemahaman dan empati pelajar-pelajar universiti dari pelbagai kumpulan etnik dan agama di Malaysia.

“Itulah sebabnya soalan seperti ini tidak bertanggungjawab kerana ia membahagikan dan mencerminkan prejudis pensyarah.”

Fakulti perlu melakukan tugas yang lebih baik dalam meneliti soalan peperiksaan untuk mengelakkan isu seperti ini muncul semula pada masa akan datang, katanya kepada The Malaysian Insight.

Hal ini juga mendorong Prof Zaharom Nain dari Nottingham University Malaysia untuk bertanya sama ada Unimap mengadakan mesyuarat jabatan berhubung soalan peperiksaan.

“Di mana kawalan kualiti?” Soal beliau.

Penyusun soalan itu adalah seorang yang mempunyai ideologi berat sebelah yang tidak sepatutnya mengajar kursus ini, tambahnya lagi.

Dr Christopher Chong dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata soalan peperiksaan sedemikian adalah berat sebelah kerana ia tidak memberi peluang kepada pelajar untuk memberikan jawapan berbeza menerusi esei.

“Ia hanya membuka jendela kepada pendirian pemeriksa dalam isu itu.

“Apa sudah jadi kepada pemikiran kritis dan nuansa-nuansa (lain) yang sepatutnya diajar di universiti?” tanya beliau.

Prof Wong Chin Huat pula berpendapat soalan peperiksaan sedemikian adalah percubaan untuk indoktrinasi, ia mencerminkan kemiskinan intelektual dan kecenderungan politik penyusun soalan.

Beliau berkata, “Pelajar boleh diuji mengenai isu kontroversi seperti Zakir Naik, tetapi soalan benar hanya boleh dibahagikan kepada dua kategori.

“Satu, soalan fakta untuk menguji pengetahuan mereka, di mana soalan aneka pilihan boleh dilaksanakan;

“Dua, soalan analitikal di mana pelajar diberi penilaian di atas keupayaan mereka membentangkan pandangan yang sama - yang lebih baik ditanya dalam bentuk esei - dan tidak sepatutnya seseorang dinilai kerana mempunyai pendapat tertentu.”

Bertanya soalan sedemikian mengenai Zakir, dengan semua jawapan yang ada yang menunjukkan pengkritik Zakir adalah bodoh atau berat sebelah, hanya menunjukkan ketidakupayaan kognitif penyedia soalan untuk mengenal pasti kewujudan sudut pandangan lain, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Adalah malang apabila kita memiliki pensyarah dalam mana-mana subjek yang tidak dapat membezakan antara fakta dan pendapat.

“Apabila ini berlaku dalam subjek hubungan etnik, ia menimbulkan persoalan sama ada ia akan menggalakkan pemahaman atau ketaksuban.

“Soalan seperti itu cukup untuk menjadi sebab Unimap perlu menjalankan audit kursus, yang meliputi sukatan pelajaran, teks, guru dan pengalaman pembelajaran,” kata Wong.

Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan menjangkakan penjelasan daripada Unimap mengenai kertas peperiksaan.

Bagaimanapun, pihak kementerian masih tidak menyatakan apa-apa tindakan terhadap Unimap

Ini kerana di bawah konsep autonomi universiti, setiap institusi bertanggungjawab untuk urusan akademiknya, kata kenyataan itu. – 31 Disember, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen