Tangguh sebab ramai tak faham subsidi petrol bersasar, kata menteri


Zaim Ibrahim

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution berkata, kerajaan mendapati rakyat masih tidak memahami program yang akan mula dilaksana pada Januari itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2019.

MASALAH utama yang menyebabkan Program Subsidi Petrol (PSP) ditangguhkan adalah isu penerangan, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, kerajaan mendapati rakyat masih tidak memahami program yang akan mula dilaksana pada Januari itu.

Menurutnya, ada pengguna yang berpendapat ia akan menyebabkan kenaikan harga bahan api yang besar.

“Apabila (diberi) jawapan di parlimen tentang naik minyak satu sen seminggu, rakyat faham naik 52 sen

“Jadi itu tunjuk tak faham. (Kenaikan ) tidak sampai 52 sen (kerana) harga minyak mentah dunia pun hingga RM2.28 atau RM 2.29 (1 liter),” jelasnya.

Sebab itulah Mesyuarat Kabinet pada 18 Dis lalu berpendapat, penerangan yang lebih jelas perlu dilipatgandakan kepada rakyat, katanya.

Tambah, kementerian sudahpun bersedia dalam aspek lain untuk melaksanakannya.

“Di sisi lain semuanya kita dah sedia.  Maknanya kementerian telah kenal pasti penerima, kaedah bayaran, nombor akaun penerima dan sesi libat urus dengan pembekal minyak.

“Tetapi kabinet berpendapat ruang harus diberikan lebih lagi terhadap penerangan (kepada rakyat) supaya polisi dan dasar yang baik dapat diterima oleh rakyat,” kata beliau kepada media di Bukit Mertajam.

Jelasnya, kementerian tiada sebarang ketetapan waktu PSP akan dilaksanakan tetapi sekadar menunggu arahan daripada Kabinet.

Apabila skim PSP dilaksana, golongan yang tidak mendapat subsidi akan membeli minyak pada harga apungan tetapi golongan B40 serta M40 akan menikmati subsidi petrol.

Program subsidi yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 dengan peruntukan RM2.4 bilion itu disasarkan untuk seramai 8 bilion pengguna dari kelompok B40 dan M40.

Semasa pengumuman itu Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata ia melibatkan kategori penerima Bantuan Sara Hidup yang akan mendapat RM30 sebulan untuk kereta atau RM12 sebulan bagi motosikal.

Katanya ia akan diberikan dalam bentuk pemindahan wang tunai yang akan masuk ke akaun bank setiap empat bulan, dengan bayaran pertama pada April 2020.

Kategori kedua pula melibatkan penerima dengan kad khas yang akan menerima subsidi 30 sen seliter sehingga 100 liter sebulan bagi kereta dan sehingga 40 liter bagi motosikal.

Kad berkenaan akan diperkenal secara berperingkat bemula suku pertama 2020, katanya.

Pada masa sama, harga runcit petrol RON95 dan diesel juga akan diapung secara berperingkat, katanya.

Penganalisis, seperti Ilham Centre, memberi peringatan Putrajaya akan hilang populariti jika subsidi petrol bersasar itu diteruskan.

Walau apa pun mekanisme yang digunakan, rakyat melihat harga petrol akan naik, kata badan kajian itu yang meneliti sikap pengundi ke atas Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai bulan lalu. – 30 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen