Biar Kabinet putuskan mengenai potongan elaun, kata Guan Eng


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau mengalu-alukan sebarang langkah yang membawa kepada penjimatan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Disember, 2019.

BIAR Kabinet yang tentukan, kata Lim Guan Eng berhubung gesaan menteri untuk memotong elaun menteri dan ahli politik.

Menteri kewangan berkata, beliau mengalu-alukan sebarang langkah yang membawa kepada penjimatan, namun keputusan itu perlu dibuat oleh Kabinet.

“Ini melibatkan kementerian lain dan saya percaya ia patut diputuskan oleh Kabinet. Saya tidak akan putuskan berhubung perkara ini,” katanya dan menambah beliau menghormati rakan dalam Kabinet.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman mencadangkan kerajaan memotong elaun ahli politik dan menteri, berikutan isu pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bagi lantikan baru.

Cadangan itu turut disokong oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun.

Dalam menyatakan sokongannya, beliau berkata elaun menteri tersebut memang telah dipotong sejak tahun lepas. – 30 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen