SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia mengambil serius tuduhan serangan dalam tahanan melibatkan pegawainya.
Ketua pesuruhjayanya Latheefa Koya berkata, SPRM akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan polis berhubung laporan itu.
“Tiada toleransi bagi apa jenis serangan dalam tahanan. Semua tuduhan berkaitan serangan dalam tahanan akan diteliti secara serius dan kerjasama penuh akan diberikan kepada mana-mana badan penyiasat.
“SPRM telah meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menangkap dan menahan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan SPRM sedang menyiasat kes pemerasan melibatkan anggota polis dan suspek penyalahgunaan dadah.
“Penyiasatan ini merupakan sebahagian daripada peningkatan operasi oleh SPRM Selangor susulan dakwaan kegiatan pemerasan yang melibatkan anggota polis.
“Satu laporan polis juga telah dibuat oleh pegawai SPRM tersebut yang menyatakan bahawa tuduhan serangan dalam tahanan terhadap anggota-anggota polis tersebut adalah palsu,” tambahnya.
Bernama hari ini melaporkan tiga anggota polis mendakwa diserang oleh pegawai SPRM ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam baru-baru ini.
Ketiga-tiga anggota berumur 24, 25 dan 26 tahun dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh hadir ke pejabat berkenaan untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun, mereka mendakwa ditumbuk, ditampar serta ditendang ketika proses mengambil keterangan oleh pegawai SPRM dalam sebuah bilik pada 24 dan 26 Disember lepas.
Laporan polis kemudiannya dibuat oleh ketiga-tiga anggota terbabit pada 27 Disember.– 30 Disember, 2019.
Komen