PENYANYI Zainal Abidin melantik peguam untuk menuntut bayaran yang tertunggak bagi persembahan pada majlis penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
“
“Kita tak nak tunggu seminggu kerana hendak selesaikan cepat. Kalau mereka bayar, kita tutup kes.
“Kalau kita ambil tindakan saman mahkamah, mereka juga kena bayar nanti,” kata pengurusnya Angelina Asmawi ketika dihubungi oleh The Malaysian Insight.
Angelina berkata Zainal yang diwakili peguam Mathew Thomas Philip, tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya syarikat pengurusan persembahan itu gagal memberi maklum balas kepada mereka hari ini.
Angelina sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight pada Ahad penyanyi itu mahu menunggu seminggu sebelum mengambil sebarang tindakan.
Syarikat itu sudah membayar kepada Zainal separuh daripada bayarannya dan berjanji untuk membayar bakinya seminggu selepas acara penutup pada 30 Ogos lepas.
Zainal tidak menandatangani sebarang kontrak dengan syarikat pengurusan persembahan itu atas dasar kepercayaan memandangkan ia syarikat yang mempunyai reputasi baik.
“Walaupun kita tidak tanda tangan apa-apa perjanjian tetapi kita ada keluarkan invois dan kita terima bayaran.
“Kita boleh gunakan bukti invois dan jelas terpampang Zainal Abidin menyanyi di TV.
“Macam mana mereka nak nafikan (bayaran)?”
Angelina juga memaklumkan Zainal sedang mengumpulkan artis dan individu lain yang belum menerima bayaran daripada syarikat berkenaan.
“Datang kepada kami. Kami lawan untuk kamu. Buat apa kita hendak takut? Kita bukan salahkan kerajaan. Kita minta hak kita.
“Sesiapa saja yang bekerja dengan mereka jika tak dapat bayaran datang juga pada kami,” katanya.
Selain Zainal, penyanyi dan pengacara Adibah Noor juga sedang mengumpulkan artis serta mereka yang terlibat dalam persembahan acara penutup itu yang masih belum mendapat bayaran.
Isu ini diketengahkan selepas Adibah mendedahkan nasib artis tidak dibayar itu di Twitter.
Selepas Perdana Menteri Najib Razak membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Adibah menulis: “Agak sedih, dan sakit hati juga, mendengar keluhan kawan-kawan yang perform masa closing Sea Games hari tu masih belum dapat bayaran.”
“Alasan yang digunakan ialah: pihak-pihak tertentu sibuk prepare untuk #Bajet2018. Harap-harap selepas pembentangan semalam, pihak tersebut cepat-cepatkanlah payment tu ya, sebab mesti yang tu dari #Bajet2017 kan?”
Tulisan Adibah itu kemudian mendedahkan lebih banyak rungutan sama daripada mereka yang terlibat dengan acara penutup temasya sukan serantau dwitahunan itu dan juga mendakwa mereka pun belum dapat bayaran.
Adibah pada Ahad kemudian mendedahkan Setiausaha Agung Majlis Sukan Negara Lokman Hakim Ali sudah menghubunginya. Beliau juga meminta mana-mana pihak yang belum mendapat bayaran berhubung dengannya melalui emel.
Beberapa penyanyi lain yang membuat persembahan pada malam penutup Sukan SEA 2017 itu seperti Faizal Tahir dan Siti Nordiana, enggan mengulas ketika dihubungi.
Majlis penutup temasya sukan itu turut menampilkan nama-nama besar dunia seni tanah air seperti M. Nasir, Amy Search dan Ella.
Dalam pada itu, Berita Harian melaporkan Jawatankuasa Pengelola Malaysia Kuala Lumpur 2017 (MASOC) yang melantik syarikat tersebut meluahkan rasa kecewa mengenai isu itu.
MASOC sudah membayar lebih 70% daripada nilai kontrak syarikat yang dilantik, menerusi proses tender Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengendalikan upacara perasmian dan penutup kedua-dua temasya berkenaan pada 28 Ogos lalu.
Penganjur bagaimanapun menetapkan sasaran melunaskan semua bayaran kepada pihak yang dilantik selewat-lewatnya sehingga akhir November ini. – 1 November, 2017.
Komen