Hospital kerajaan dijangka makin sesak


Zaim Ibrahim

Pada masa ini, pesakit terpaksa tunggu lama untuk mendapatkan rawatan disebabkan kekurangan doktor terutama pakar serta kemudahan yang terhad. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Disember, 2019.

KESESAKAN di hospital kerajaan dijangka akan bertambah buruk apabila semakin ramai pesakit dijangka beralih ke hospital kerajaan.

Pada masa ini, pesakit sememangnya terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan disebabkan kekurangan doktor terutama pakar serta kemudahan yang terhad.

Namun keadaan itu dijangka akan bertambah buruk apabila jumlah pesakit meningkat di hospital awam apabila kerajaan menghapuskan kawalan fi rundingan dan caj rawatan di hospital swasta.

Tinjauan The Malaysian Insight ke beberapa hospital di Pulau Pinang mendapati, ada pesakit yag terpaksa menunggu sehingga sembilan jam untuk dimasukkan ke wad.

Ada juga yang terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk mendapatkan giliran bersalin, dan tempoh menunggu sehingga lebih 90 minit untuk rawatan pesakit luar juga sudah menjadi kelaziman.

Salah seorang pesakit, Norasiah Mohamad, 53, menceritakan kepada The Malaysian Insight pengalaman beliau mendapat rawatan selepas diserang angin ahmar tiga tahun lalu.

Sebaik dibawa ke Hospital Seberang Jaya oleh suaminya untuk mendapatkan rawatan, Norasiah berkata beliau terpaksa menunggu lama sebelum dimasukkan ke wad kecemasan.

“Setelah diperiksa oleh pegawai perubatan, saya diberitahu akan ditahan wad. Tetapi saya tunggu lama, daripada 6 petang hingga 3 pagi di bilik pemerhatian baru masuk ke wad,” katanya.

Setelah itu, beliau masih tidak dapat menerima rawatan menghadapi masalah kerana hospital itu tidak mempunyai pakar untuk merawatnya.

“Saya kemudian dihantar ke Hospital Besar Pulau Pinang, akhirya saya mendapatkan rawatan hingga sembuh di hospital itu,” tambah beliau yang ditemui ketika mendapatkan laporan kesihatan.

Tinjauan The Malaysian Insight ke beberapa hospital di Pulau Pinang mendapati, ada pesakit yag terpaksa menunggu sehingga sembilan jam untuk dimasukkan ke wad. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Disember, 2019.

Masalah kekurangan pakar di hospital kerajaan itu turut dikongsi seorang penjawat awam, Muhammad Sharul Nizam Roslan yang berdepan masalah kerana hospital di kawasannya tiada pakar.

Katanya, beliau terpaksa berulang-alik ke Hospital Seberang Jaya yang terletak 50 km dari tempatnya kerana Hospital Parit Buntar tidak dapat menangani komplikasi dihadapi isterinya ketika bersalin.

Malah, isterinya perlu menunggu giliran lebih daripada tiga jam untuk bersalin, kata Muhammad Sharul, 24.

“Isteri saya mula tunggu giliran untuk bersalin pada jam 4 petang, waktu itu sudah rasa sakit tetapi kerana ramai juga yang mahu bersalin, dia terpaksa tunggu.

“Dia hanya dibenarkan masuk ke wad bersalin dalam jam 8 malam, tapi alhamdulillah semua berjalan dengan lancar,” jelas beliau.

Beliau berharap kerajaan dapat menangani masalah kekurangan doktor pakar itu untuk memudahkan memudahkan penduduk setempat.

“Saya harap setiap hospital kerajaan, ada doktor pakar dalam satu-satu bidang. Kalau tidak, susahlah kepada pengguna perlu mencari hospital yang lain,” kata beliau.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 ke atas Kementerian Kesihatan mendapati kekurangan doktor yang serius di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) di hospital awam.

Laporan itu menyebut, ETD seluruh negara sesak apabila jumlah kunjungan pesakit melebihi tahap penjagaan yang ditetapkan, iaitu antara 5.7% hingga 95.6 %.

Audit mendapati ETD mengalami kekurangan penjawatan iaitu antara 11.6% hingga 53.1% berbanding bilangan penjawatan yang diperlukan mengikut piawai antarabangsa.

Kekurangan paling besar adalah untuk pakar kecemasan pada kadar 75.6% hingga 79.5% selain pegawai perubatan antara 41.2% hingga 64.6%.

Laporan itu juga mendapati, petugas ETD hadapi beban tugas yang tinggi, kurang peralatan perubatan, ruang yang terhad dan ketidakupayaan ICT.

Oleh itu, kemampuan hospital kerajaan ini untuk menampung peningkatan jumlah pesakit menjadi persoalan memandangkan hospital sedia ada sudahpun cukup sesak.

Di kawasan kritikal seperti wad kecemasan, pesakit perlu berhimpit-himput dalam ruang sesak, kata seorang seorang pesakit yang sedang menjalani rawatan jantung, G Doraisamy.

“Saya diberitahu wad biasa tidak muat lagi untuk tambah pesakit, jadi kenalah duduk wad kecemasan,” kata Doraisamy, 45, yang merupakan seorang pekerja kilang.

Kesesakan itu bukan sahaja berlaku di dalam wad tetapi juga ti ruang menunggu untuk rawatan pesakit luar, seperti disaksikan The Malaysian Insight.

Sepanjang tempoh pemerhatian selama tiga hari dari 3 Disember itu, ruang menunggu penuh sesak dengan pesakit yang menunggu giliran berjumpa doktor.

Malah, wartawan The Malaysian Insight yang cuba mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di kedua-dua hospital dan perlu menunggu sehingga 90 minit bagi mendapatkan rawatan.

Hospital Seberang Jaya dan Hospital Bukit Mertajam juga diperhatikan amat kurang kawasan parkir, menyebabkan kenderaan diletak tanpa kawalan di tepi jalan sehingga mengganggu lalu lintas.

Namun kesesakan itu tidak menghalang pesakit seperti Doraisamy untuk memilih hospital kerajaan kerana harganya jauh lebih murah daripada hospital swasta.

Malah beliau juga lebih mempercayai kepakaran doktor di hospital awam, katanya ketika ditemui.

Faktor kadar bayaran rendah itu diakui seorang lagi pesakit, J Ganesh dari Bukit Mertajam yang tidak kisah menunggu giliran yang lama kerana tidak perlu membayar caj rawatan tinggi.

“Kita dapatkan rawatan biasa RM1. Kalau di klinik atau hospital swasta, mungkin mencecah ratusan ringgit.

“Saya sendiri pernah buat pembedahan kaki yang hanya RM100 lebih di hospital awam sedangkan kos hospital swasta mencecah RM35,000.

“Daripada segi perkhidmatan, sama saja sebab itu saya lebih pilih hospital awam,” katanya. – 30 Disember, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen