APANDI Ali tetap tidak berganjak daripada pendirian untuk meletak jawatan pengerusi Lembaga Disiplin Umno.
Katanya tindakan itu akan dilakukan sekembalinya daripada percutian luar negara.
“InsyaAllah. Tidak mungkin,” tambah beliau ketika ditanya The Malaysian Insight sama ada akan mempertimbangkan semula keputusan tersebut.
Beliau juga mengakui Umno belum menerima peletakan jawatannya.
“Setakat ibu pejabat belum terima surat dari saya itu betul lah,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa menegaskan Apandi masih memimpin lembaga itu kerana ibu pejabat parti masih belum menerima surat peletakan jawatan tersebut.
Menurut Annuar, beliau juga telah diberi gambaran awal apa yang sedang berlaku dan yakin ianya dapat diselesaikan secara tertib apabila Apandi pulang daripada bercuti.
Ketika ditanya hari ini, Apandi enggan mengulas kenyataan Annuar.
Apandi mengumumkan meletak jawatan pada Khamis apabila prosiding lembaga itu untuk memanggil bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein tidak dapat dijalankan.
Hishammuddin sepatutnya memberi penjelasan atas tuduhan melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli Umno.
Apandi pada hari yang sama mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai pengerusi Lembaga Disiplin Umno kerana mendakwa wujud campurtangan dalam prosiding tersebut.
Tegasnya, beliau tidak mahu menjadi kuda tunggangan mana-mana pihak dan mendakwa pemimpin parti tertentu mengarahkan prosiding tunjuk sebab ke atas Hishammuddin dihentikan.
Pengadu kes itu, anggota majlis tertinggi Umno Lokman Adam mendakwa menamakan presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi sebagai individu yang menghalang siasatan tersebut. – 29 Disember, 2019.
Komen