SATU pengumuman baharu berkenaan Program Subsidi Petrol (PSP) akan dibuat esok, kata Saifuddin Nasution Ismail.
Bagaimanapun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu tidak menjelaskan butiran pengumuman baharu tersebut.
“Saya akan buat pengumuman esok. Saya akan buat kenyataan secara bertulis,” kata beliau kepada media di Bukit Mertajam.
Namun, difahamkan pengumuman esok akan dilakukan dalam satu sidang media di Pulau Pinang.
PSP merupakan salah satu janji yang tertulis di dalam manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya lalu.
Program tersebut akan memberi subsidi kepada individu B40 yang mempunyai kenderaan kereta dan motosikal.
Pengguna yang menggunakan kereta dengan kapasiti 1,600cc ke bawah dan motosikal 150 cc ke bawah layak menerima subsidi itu.
Pelaksanaan PSP diumumkan dalam Belanjawan 2020 dengan melibatkan kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang berkenderaan di Semenanjung Malaysia.
Mengikut pengumuman bajet itu, penerima yang memiliki kereta akan diberikan subsidi RM30 sebulan manakala subsidi sebanyak RM12 sebulan akan diberikan kepada penerima yang memiliki motosikal.
Program itu bagaimanapun tidak melibatkan penerima di Sabah, Sarawak, dan Labuan.
Kementerian juga sedang giat berusaha untuk meluaskan progam itu kepada golongan pertengahan, M40. – 29 Disember, 2019.
Komen