MASJID Jalan York di Georgetown ditutup pada waktu Subuh kerana tidak ramai hadir untuk solat jemaah, kata pengerusinya Basheer Ahamed Abdul Kareem.
Selain itu, masjid juga ditutup pada waktu tersebut untuk mengelak kes kecurian, vandalisme dan kedatangan individu yang tidak diingini, katanya dalam satu kenyataan.
Malah, terdapat masjid lebih besar di kawasan sekitar yang boleh memuatkan jemaah lebih ramai, katanya.
“Cerita Solat Subuh itu, kami buat pemerhatian jemaah Subuh seorang atau dua sahaja.
“Kita ada banyak masalah dengan vandalisme, kecurian, kamera CCTV rosak, kepala paip hilang, pintu pecah dan ada manusia pelik tidur di masjid itu,” jelas beliau.
Tambahnya, Masjid Jalan York juga tidak mempunyai imam tetap dan hanya dikendali oleh petugas sukarela yang tinggal di kawasan lain.
Oleh itu beliau menyarankan jemaah menyertai kariah di masjid berdekatan seperti Masjid Shaik Yusof atau di Kebun Lama denga jarak 250 meter.
Beliau juga kecewa kerana isu tersebut sengaja diperbesarkan oleh sesetengah individu dan menjelaskan akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa.
Kenyataannya itu bagi menjelaskan notis penutupan dikeluarkan pada 24 Disember lalu yang tular di media sosial dan mendapat teguran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Notis berkenaan mengumumkan masjid itu hanya dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 9.30 malam dan ditutup pada waktu lain.
Ia akan mula dikuatkuasa pada 31 Disember, menurut notis berkenaan yang ditampal di masjid tersebut.
Notis tersebut turut menyarankan agar para jemaah menunaikan Solat Subuh atau Solat Isyak selepas jam 9.30 malam di Masjid Jamek Shaik Yusoff, Jalan Dato Keramat.
Sementara itu, Yang Dipertua MAINPP Abdul Malik Abul Kassim dalam tegurannya berkata, semua masjid perlu dibuka sekurang-kurangnya bagi solat fardu lima waktu, mengikut asas fungsi masjid.
Beliau berkata, ia termaktub dalam Kaedah Jawatankuasa Kariah (Negeri Pulau Pinang) 1997 – Kaedah 35.
“Masjid hendaklah digunakan sebagai tempat beribadat orang Islam termasuk solat fardu dan solat Jumaat, pusat kegiatan agama Islam atau pembangunan ummah,” katanya.
Abdul Malik juga berkata notis itu tidak terpakai kerana bertentangan dengan peraturan mengenai kaedah dan fungsi Kaedah 35 Fungsi Masjid.
“Sebagai pihak atau wakil MAINPP, saya nasihatkan dan ingatkan kepada semua pengerusi dan ahli jawatankuasa kariah mengenai bidang kuasa sebagai pentadbir masjid, tanah wakaf masjid dan perkuburan masjid seperti yang termaktub dalam Kaedah 3 dan 8.
“Pengerusi dan ahli jawatankuasa tidak mempunyai kuasa mutlak tetapi hanya sebagai wakil MAINPP sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Masjid Jalan York terletak berhampiran Hospital Besar Pulau Pinang dan juga pejabat gabenor negeri.
Antara masjid berdekatan adalah Masjid Jamek Shaik Eusoff dan Masjid Acheh di sekitar Jalan Air Itam. – 29 Disember, 2019.
Komen