Amanah Pulau Pinang ada kelebihan tanpa tokoh menonjol


Zaim Ibrahim

Amanah Pulau Pinang yang memilih barisan kepimpinan yang tiada jawatan kerajaan boleh menjadi contoh kepada parti politik lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2019.

TIADA tokoh menonjol terpilih ke barisan pemimpin baharu Amanah Pulau Pinang untuk sesi 2019-2022, yang dilihat penganalisis sebagai satu petanda positif.

Menurut pengkaji ini, ia menunjukkan keberanian Amanah untuk melakukan perubahan dan memberi keupayaan untuk bertindak sebagai kuasa semak dan imbang dengan lebih berkesan.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff berkata, pimpinan baharu Amanah di Pulau Pinang membuka lebih banyak ruang bersuara termasuk mengkritik kerajaan.

“Amanah Pulau Pinang tidak akan terikat dengan apa-apa kongkongan atau tekanan daripada pihak lain. Mereka lebih bebas bersuara kerana (tidak terikat dengan) jawatan dalam kerajaan dan jawatan tinggi dalam parti.

“Mereka boleh menjadi pemantau dan sebagai satu kuasa mengawasi kerajaan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Oleh itu, barisan pemimpin baharu Amanah di Pulau Pinang perlu dijadikan sebagai contoh kepada parti lain, jelasnya.

“Apabila jawatan parti di negeri diketuai oleh mereka yang tidak ada jawatan dalam kerajaan, fokus boleh dilakukan ke arah pembangunan parti, organisasi parti di negeri dan bahagian akan lebih mantap.”

Mujahid Yusof Rawa tidak mempertahankan jawatannya sebagai pengerusi Amanah Pulau Pinang yang dipegangnya sejak 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2019.

Kamarul turut yakin perkembangan ini mampu menambat hati masyarakat Melayu di Pulau Pinang, yang kini perlu bersaing dengan Muafakat Nasional, iaitu kerjasama antara PAS dengan Umno.

“Seperti yang saya cakap, mereka mampu lebih bersuara tanpa sebarang kekangan. Mereka boleh sentuh soal-soal kebimbangan dan boleh menjuarai isu-isu kaum Melayu dengan lebih berkesan.

“Mungkin lebih ramai orang Melayu akan sokong Amanah menjelang Pilihan Raya Umum ke-15,” jelasnya lagi.

Barisan pemimpin baharu Amanah Pulau Pinang itu antara lain mengangkat pensyarah kejuruteraan Roslan Ahmad sebagai pengerusinya dalam pemilihan 23 November lalu.

Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mujahid mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu selepas mengetuai parti peringkat negeri sejak ditubuhkan pada September 2015.

Keputusan itu dibuat bagi memberikan tumpuan kepada tugas parti di peringkat pusat.

Pemilihan Amanah Pulau Pinang boleh dijadikan contoh kepada parti lain untuk memisahkan pemimpin parti dan mereka yang berada dalam kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2019.

Timbalan pengerusi negeri yang dipilih adalah Mohamed Yusoff Mohamed Noor, yang merupakan bekas aktivis PAS.

Naib Pengerusi Dr Zaidi Zakaria pula merupakan pakar perunding kanak-kanak di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam.

Dalam jawatankuasa itu, hanya dua orang terdiri daripada wakil rakyat iaitu Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil dan Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz.

Faiz yang juga timbalan ketua Pemuda Amanah, tewas dalam pemilihan peringkat kawasan Permatang Pauh pada Oktober lalu dilantik ke jawatan pengarah mobilisasi rakyat.

Azrul yang juga naib ketua Pemuda Amanah dilantik ke jawatan ketua kawasan Balik Pulau.

Menurut seorang lagi penganalisis politik, Mohd Azizuddin Md Sani juga berkata, kedudukan Amanah Pulau Pinang tidak akan terjejas walaupun tiada tokoh utama memegang jawatan di peringkat negeri.

“Tengok daripada barisan kepimpinan, banyak muka baru yang orang tidak berapa kenal tetapi bagusnya ramai golongan profesional dan mereka ada bakat.

“Individu baru mungkin lebih bertenaga dan mampu membawa agenda perjuangan Amanah supaya menambahkan sokongan daripada rakyat Pulau Pinang,” jelas pensyarah politik dari UUM itu.

Jelasnya, pendekatan baharu Amanah supaya parti peringkat negeri dipimpin oleh “orang yang kurang dikenali” mungkin merupakan satu percaturan politik.

“Lebih elok parti dipimpin orang yang dikenali, supaya ada tarikan. Tetapi mungkin (Amanah) ada percaturan lain,” katanya.

Amanah dipimpin Mohamad Sabu perlu mengukuhkan kedudukannya bagi mencabar dominasi PAS dan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2019.

Katanya lagi, Amanah mungkin mahu dilihat sebagai parti yang memilih seseorang bukan atas dasar individu tetapi sifat kepemimpinan untuk mengumpul sokongan akar umbi.

Perkara itu turut diakui sebagai satu kekuatan oleh pengerusi yang baru dilantik, Roslan Ahmad.

Selain itu kepelbagaian latar belakang pemimpin tersebut juga memberi kekuatan bagi penggal selama tiga tahun itu.

“Saya lihat kepimpinan yang ada ini adalah gabungan aktivis parti (ketika bersama PAS sekita) 20 hingga 30 tahun lalu. (Ada) pemimpin NGO, profesional, dan tokoh akademik.

“Memang tidak ada tokoh hebat seperti Mujahid Yusuf, tetapi saya yakin pelbagai latar belakang ini satu kekuatan.

“Mungkin selama ini bergantung kepada tokoh individu, apabila kepimpinan baru ini tidak ada, nampak pelik sikit,” jelasnya.

Beliau juga tidak melihat Amanah agak ketinggalan walaupun jawatankuasa DAP, Bersatu, dan PKR di Pulau Pinang dipimpin individu yang menjawat jawatan penting di peringkat pusat.

“Amanah bukan bergantung kepada kekuatan individu tetapi  bergantung kepada kekuatan rundingan kita.

“Saya tak nampak ia satu masalah. Di Pulau Pinang tidak ada parti adik ataupun abang, masing-masing mempunyai kuasa yang seimbang.

“Kekuatan kita bergantung kepada hujah dalam mesyuarat bersama parti komponen yang lain,” katanya yang menambah, jumlah ahli Amanah di Pulau Pinang kini hampir mencapai 4,000 orang. – 29 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen