Harga bawang naik bermula dari negara pengeksport, kata menteri


Zaim Ibrahim

Sejak beberapa minggu lalu, harga bawang merah India dilaporkan meningkat di seluruh negara antara RM10 hingga RM15 sekilogram bagi harga runcit, berbanding RM5 hingga RM8 sebelum ini. – Gambar AFP, 28 Disember, 2019.

KENAIKAN harga bawang yang dilaporkan di seluruh negara berpunca dari peringkat negara negara pengeksport, bukannya akibat kekurangan bekalan, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, pihaknya mendapati trend kenaikan harga bermula seawal memasuki negara ini.

“Maksudnya dari negara pengeksport sendiri, pada waktu itu sudah berlaku peningkatan harga. 

“Seawal itu lagi dan ada beberapa rantaian, berlaku peningkatan harga bawang,” katanya dalam satu sidang media di Permatang Pauh.

Beliau mengulas mengenai dakwaan bahawa kenaikan harga bawang merah India sejak beberapa minggu lalu berpunca akibat bekalan yang semakin kurang.

Saifuddin berkata, bekalan untuk ketiga-tiga jenis bawang di pasaran- bawang kecil, bawang besar dan bawang putih adalah mencukupi walaupun India menghentikan eksport bawang kepada Malaysia.

“Keadaan yang berlaku sekarang, India telah menghentikan eksport bekalan bawang di Malaysia atas faktor keperluan negara dan faktor-faktor lain.

“Tetapi kita ada pengeluar daripada China, Belanda dan Pakistan yang mencukupkan bekalan,” jelas beliau.

Ketika ditanya cara kerajaan untuk menangani bekalan harga bawang itu, beliau berkata tanggungjawab kementeriannya hanyalah melibatkan pengkuatkuasaan harga sahaja.

“Bahagian kementerian (hanya) penguatkuasaan harga sahaja. Harga ini ditentukan oleh pelbagai faktor. 

“Kalau media ada cadangan (turunkan harga) bagus juga, kami hanya bertanggungjawab daripada segi penguatkuasaan harga,” katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, harga bawang merah India dilaporkan meningkat di seluruh negara antara RM10 hingga RM15 sekilogram bagi harga runcit, berbanding RM5 hingga RM8 sebelum ini.

Orang ramai merungut kenaikan harga bawang yang mendadak malah, pemborong dan peruncit pula tidak ada pilihan, terpaksa meletakkan harga yang mahal kerana mendakwa mereka juga memperoleh bekalan daripada pembekal pada harga tinggi. – 28 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen