Umno tidak campur tangan urusan lembaga disiplin parti, kata Annuar Musa


SM Amin

TIDAK wujud campur tangan  dalam hal ehwal Lembaga Dispilin Umno seperti yang didakwa pengerusinya Mohamed Apandi Ali, kata setiausaha agung parti, Annuar Musa.

Beliau menegaskan, lembaga disiplin itu kekal bebas dan dibentuk berdasarkan perlembagaan parti.

“Tidak benar bahawa wujud campur tangan dalam proses atau prosiding jawatawan kuasa disiplin.

“Mereka (jawatankuasa) kekal bebas membuat siasatan dan melaporkan kepada Majlis Kerja Tertinggi parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Apandi meletak jawatan sebagai pengerus lembaga disiplin Umno pada Khamis kerana mendakwa wujud campur tangan dalam siasatan terhadap Hishammuddin Hussein.

The Malaysian Insight pada minggu lalu melaporkan Annuar meminta Apandi menarik balik surat tunjuk sebab tersebut kerana “isu tersebut sudah selesai”.

Perkara itu dilaporkan dimaklumkan oleh Ahmad Zahid kepada para ketua bahagian Umno.

Annuar bagaimanapun hari ini menafikan tuduhan berkenaan dan mendakwa jawatankuasa disiplin itu menyiasat dengan bebas.

Apandi juga, katanya masih lagi kekal sebagai pengerusi lembaga displin tersebut kerana ibu pejabat parti masih belum menerima surat peletakan jawatan itu.

“Justeru Apandi Ali masih pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno. Saya telah berkesempatan menghubungi Apandi, dan sahih beliau sedang bercuti di luar negara,” katanya.

Menurut Annuar, beliau juga telah diberi gambaran awal apa yang sedang berlaku dan yakin ianya dapat diselesaikan secara tertib apabila Apandi pulang daripada bercuti.

“Terdapat beberapa kekeliruan berkaitan perkara yang dibangkitkan dan perkara-perkara ini boleh dibincangkan apabila Apandi sendiri berada di Kuala Lumpur.

“Beberapa kekeliruan mengenai proses dan tindakan jawatankuasa disiplin akan dimurnikan apabila jawatankuasa tersebut bermesyuarat secara bebas dan dipengerusikan sendiri oleh Apandi,” ujarnya.

Dalam surat bertarikh 13 Disember 2019, Lembaga Disiplin Umno meminta Hishammuddin hadir prosiding bagi menjawab dakwaan tidak mengikut perintah parti, tidak menjalankan dasar parti, serta tidak menjaga nama baik dan maruah part – 28 Disember, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen