Ahli Parlimen Padang Besar masuk hospital


Ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah pukul 5 pagi tadi, selepas mengalami sesak nafas ketika bangun dari tidur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2019.

AHLI Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pukul 5 pagi tadi, selepas mengalami sesak nafas ketika bangun dari tidur pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Ruzaini Rais berkata Zahidi, 58, dikatakan tidak menunjukkan apa-apa tanda sakit sebelum ini dan kelihatan sihat.

“Saya melawat Zahidi pagi tadi dan beliau berada di dalam keadaan stabil. Zahidi kini masih dirawat dan diletakkan di bawah pengawasan pakar di Unit Penjagaan Jantung (CCU) HTF untuk pemeriksaan dan pemantauan,” katanya.

Katanya pihak hospital tidak membenarkan pelawat luar datang melawat bekas pengerusi Risda itu dan hanya ahli keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan masuk melawat.

Zahidi  yang menjadi ahli Parlimen Padang Besar sejak 2013 juga ketua Umno Bahagian Padang Besar dan timbalan pengerusi Perhubungan Umno Perlis. – Bernama, 28 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen