ZON Perdagangan Bebas Cukai Digital (DFTZ) yang pertama di luar China akan dilancarkan di Malaysia pada 3 November, kata Perdana Menteri Najib Razak.
Najib berkata kerajaan menerima cabaran itu dan bersama-sama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), berjaya memenuhi permintaan pengasas AliBaba, Jack Ma.
“Apabila saya bertemu dengan Jack Ma tahun lepas, kami bercakap mengenai konsep DFTZ.
“Beliau berkata jika Malaysia boleh memberikan kelulusan dalam masa tiga bulan untuk melakukannya, beliau akan mengakui Malaysia sebagai DFTZ pertama di luar China,” kata Najib.
“Beliau sangat terkejut dan tertanya-tanya bagaimana kerajaan dapat melakukannya dalam tempoh tiga bulan,” kata Najib selepas melancarkan Dialog Daya eUsahawan TN50 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Najib sebelum ini mengumumkan Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia di luar China menubuhkan DFTZ yang terdiri daripada Hub e-Fulfillment, Hub Perkhidmatan Satelit dan Platform E-Perkhidmatan untuk merangsang pertumbuhan perdagangan elektronik.
Akan menyertainya adalah lebih 1,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan. Ia juga akan menceburi pasaran global dan China.
Najib berkata PKS akan mendapat manfaat bukan sahaja bersaing di peringkat global tetapi juga di pasaran China.
“Pasar China sangat besar. Usahawan kita akan mendapat faedah. Saya ada kawan yang membekalkan dua kontena durian ke China. Itu katanya, tidak mencukupi (kerana permintaan yang tinggi).”
Fasa pertama DFTZ dijangka menarik pelaburan bernilai RM700 juta dan mewujudkan 2,500 peluang pekerjaan.
Untuk ini, kerajaan akan menyediakan RM83.5 juta bagi membina infrastruktur untuk fasa pertama DFTZ di Aeropolis, KLIA di Sepang.
Kerajaan juga akan meningkatkan nilai minimum bagi import dari RM500 hingga RM800 untuk menjadikan Malaysia sebagai hab e-dagang serantau.
Terdapat juga rancangan mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi mendapatkan manfaat inovasi, terutamanya idea daripada tempatan. – 31 Oktober, 2017.
Komen