PEGUAM Negara Mohamed Apandi Ali berkata beliau masih belum menerima laporan siasatan dakwaan skandal membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan seorang wanita yang sudah berkahwin daripada pihak polis.
Oleh itu katanya, beliau menganggap siasatan polis terhadap pegawai tertinggi suruhanjaya terbabit masih lagi berjalan.
“Saya masih tidak terima kertas siasatan berhubung perkara itu dan saya rasa siasatan masih lagi berjalan. Lagi pun kes ini masih baru,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes membabitkan pegawai kanan suruhanjaya berkenaan.
Sebelum ini dilaporkan, dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Dzulkifli dan wanita terbabit berpegangan tangan dan memasuki sebuah restoran di Bali tersebar.
Bagaimanapun, beliau menafikannya dan mengatakan ia merupakan kempen memburuk-burukkannya oleh pihak yang berkenaan.
Pada 17 Oktober lalu, pihak polis mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap pegawai kanan SPRM itu.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan menggoda wanita yang sudah berkahwin dengan niat untuk mengadakan persetubuhan yang ditegah.
Dakwaan berhubung skandal itu timbul selepas seorang eksekutif jualan membuat laporan polis berhubung video yang dimuat naik ke Youtube.
Wanita yang turut dikaitkan dengan tuduhan itu sebelum ini berkata dia akan menerima kesalahan itu namun tidak akan mendedahkan punca perceraiannya. Dia juga berkata dia kini dalam tekanan untuk membersihkan semula namanya.
Wanita berkenaan juga turut memohon maaf kepada Dzulkifli dan keluarganya menerusi satu posting di Facebook.
Dzulkifli sebelum ini juga pernah bersuara dan berkata beliau tidak akan benarkan “taktik kotor” menjejaskan usahanya untuk menentang rasuah.
Dzulkifli berkata, serangan itu adalah berikutan pendekatan agresif oleh SPRM sejak awal tahun ini dalam menyelesaikan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa. – 31 Oktober, 2017.
Komen