Pemilihan Bersatu: 3 jawatan utama jadi tumpuan


SM Amin

Ini adalah pemilihan Bersatu yang pertama sejak penubuhannya pada September 2016. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2019.

TIGA jawatan utama dalam Bersatu dijangka akan jadi tumpuan dalam pemilihan parti yang bermula hujung bulan hadapan, penentuan yang akan mencorakkan kepimpinan parti menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini adalah pemilihan parti yang pertama sejak penubuhannya pada September 2016, hampir dua tahun sebelum PRU14 yang menumbangkan Barisan Nasional.

Tiga jawatan tersebut ialah tiga kerusi naib presiden serta ketua sayap Pemuda dan Wanita, kata sumber dalam parti.

The Malaysian Insight difahamkan tiada pertandingan bagi tiga jawatan paling kanan – pengerusi, presiden dan timbalan presiden – yang sekarang masing-masing disandang oleh Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir.

Dua penyandang kerusi naib presiden Ab Rashid Ab Rahman dan Abdul Rashid Ashari dijangka akan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan.

Satu lagi kerusi naib presiden kosong selepas Hamidah Osman keluar parti pada September 2017.

Beberapa pemimpin parti di pusat dan di akar umbi memberitahu The Malaysian Insight beberapa nama yang sudah membayangkan hasrat bertanding jawatan naib presiden.

Tiada pertandingan bagi tiga jawatan paling kanan – pengerusi, presiden dan timbalan presiden – yang sekarang masing-masing disandang oleh Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2019.

“Setakat ini kita dengar ada beberapa nama yang berminat mahu bertanding naib presiden.

“Tetapi sekarang ini hendak cerita lebih-lebih pun, orang semua tengah bercuti. Mood pemilihan itu belum datang. Tunggu selepas cuti tahun baru,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.

Antara nama yang disebut mahu bertanding kerusi naib presiden ialah dua menteri Kabinet iaitu Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Pada Ogos lalu, Redzuan yang juga ketua Bersatu Melaka mengulangi pendirian tidak bertanding jawatan presiden atau timbalan presiden sebaliknya mengesahkan akan mencuba nasib bagi jawatan naib presiden.

Seorang lagi pemimpin kanan Bersatu dari Melaka, exco kerajaan negeri Mohd Rafiq Naizamohideen juga disebut-sebut akan bertanding kerusi naib presiden.

Beberapa sumber bagaimanapun senada membayangkan laluan sukar untuk salah seorang antara Redzuan dan Rafiq kerana perwakilan tidak mungkin memilih dua naib presiden dari negeri yang sama.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu juga disebut-sebut akan menawarkan diri untuk jawatan naib presiden.

Mohd Redzuan Md Yusof yang juga ketua Bersatu Melaka mengesahkan akan mencuba nasib bagi jawatan naib presiden. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2019.

Pertandingan ketua Pemuda, Wanita

Sumber juga memberitahu The Malaysian Insight jawatan Ketua sayap Pemuda yang dipegang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga Menteri Belia dan Sukan, turut diintai oleh beberapa individu.

Sumber dari sayap Pemuda itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama bakal pencabar Syed Saddiq kerana khuatir akan berlaku sabotaj sebelum pemilihan di peringkat cawangan.

“Yang hendak lawan Syed Saddiq ini ramai tetapi yang kuat hanya beberapa orang sahaja. Kalau hendak lawan, biar menang. Bukan setakat bertanding.

“Setakat ini kita fokus pemilihan cawangan dahulu, takut macam-macam boleh jadi,” katanya.

Ketua Wanita Rina Harun juga dijangka akan ditentang oleh seorang pemimpin sayap di utara Semenanjung Malaysia.

Individu berkenaan mengesahkan kepada The Malaysian Insight hasratnya mengetuai sayap Wanita Bersatu namun meminta namanya tidak didedahkan sehingga selesai pemilihan cawangan.

“Selepas selesai pemilihan cawangan, kita akan umum,” katanya ringkas.

Jawatan Ketua sayap Pemuda yang dipegang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga Menteri Belia dan Sukan, turut diintai oleh beberapa individu.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2019.

Bersatu memilih

Bersatu akan mengadakan pemilihan parti bagi peringkat cawangan antara 25 Januari hingga 1 Mac 2020, sementara pemilihan di peringkat bahagian diadakan pada 4 April.

Pemilihan bagi jawatan ahli MPT pula akan diadakan dalam perhimpunan agung tahunan yang ditetapkan pada 20 Jun.

Pemilihan Bersatu akan dibuat dengan menggunakan dua sistem iaitu “satu ahli satu undi” bagi pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian, dan sistem perwakilan bagi pemilihan jawatan di peringkat pusat, sama seperti yang pernah dipakai oleh Umno suatu masa dahulu.

Umno mengadakan pemilihan jawatan pimpinan pusat secara serentak di seluruh bahagian susulan pindaan perlembagaan parti pada 2009.

Bersatu mempunyai masa sehingga Jun tahun depan untuk mengadakan pemilihan parti. – 28 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen