JABATAN Peguam Negara sudah melengkapkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Dadah Berbahaya 2017 dan bersedia membentangkannya di Parlimen.
Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali berkata, pindaan yang akan memberi kuasa budi bicara kepada hakim berhubung hukuman gantung itu adalah berdasarkan pengalamannya sebagai hakim di Mahkamah Tinggi dan Rayuan.
“Pindaan itu datang daripada saya dan pernah membuat penerangan kepada Kabinet sebelum ini. Ia berdasarkan pengalaman saya sebagai hakim Mahkamah Tinggi dan Rayuan.
“Kebanyakan hakim agak sukar meluluskan penalti gantung apabila mereka berasa pesalah itu sebenarnya tidak layak dikenakan hukuman begitu.
“Tetapi mereka tiada pilihan kerana ia mandatori. Justeru, saya mencadangkan kerajaan agar lebih fleksibel dan memberi budi bicara kepada pesalah,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai jawapan lisan di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman yang mendedahkan beberapa siri perbincangan jabatan peguam dan beberapa agensi berkaitan berhubung draf akta tersebut.
Azalina berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang ingin tahu sama ada kerajaan ingin memansuhkan hukuman mati atau sedia menangguhkan semua perlaksanaan hukuman mati sementara sepanjang tempoh moratorium itu.
Beliau berkata, draf tersebut juga termasuk panduan kepada hakim untuk mengenal pasti pesalah mana yang layak diberi budi bicara bagi hukuman gantung.
“Jadi kita rencanakan idea itu, kita juga akan mengenal pasti sama ada pesalah layak atau tidak dikenakan hukuman gantung.
“Mungkin ada yang baca laporan berita sebelum ini ada mangsa yang tidak tahu mereka membawa dadah, cuma jadi kambing hitam. Yang itu kategori tidak digantung.
“Tetapi bagi yang membeli dan mengedar dadah, itu memang kategori dikenakan hukuman gantung,” katanya. – 31 Oktober, 2017.
Komen