Tokoh korporat Muhammad Ali Hashim meninggal dunia


Nabihah Hamid

Muhammad Ali Hashim dimasukkan ke hospital sejak dua bulan lalu akibat kanser dan menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 4 petang ini. – Gambar YouTube, 31 Oktober, 2017.

TOKOH korporat Muhammad Ali Hashim meninggal dunia di Hospital KPJ Damansara kira-kira jam 4 petang tadi disebabkan penyakit kanser.

Difahamkan beliau telah mendapatkan rawatan di hospital sama sejak dua bulan lalu.

“Beliau dimasukkan ke hospital disebabkan kanser. Namun keluarga tidak selesa hendak dedahkan kanser apa,” kata Zurina, pembantu kepada anaknya, Alia ketika dihubungi.

Jenazah tokoh itu akan dikebumikan malam ini di Taman Perkuburan Islam Bukit Kiara manakala solat jenazah diadakan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala lumpur.

Muhammad Ali, bekas presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), merupakan pengasas Waqaf An-Nur Corporation Bhd (WANCorp), sebuah institusi wakaf korporat yang pertama di Malaysia. Setakat akhir 2016, wakaf itu mempunyai aset bernilai lebih RM800 juta.

Bagaimanapun, beliau lebih dikenali sebagai individu yang menerajui syarikat pelaburan negeri, Johor Corporation antara 1982 hingga 2010, sehingga menjadi antara badan korporat disegani di Malaysia dengan sekurang-kurangnya 280 anak syarikat.

Antara syarikat utama JCorp termasuk KFC Holdings Malaysia Bhd dan QSR Brands Bhd, yang memiliki rangkaian restoran KFC, Pizza Hut dan Ayamas di Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja dan India.

KPJ Healthcare Bhd, sebuah lagi anak syarikat JCorp, kini mendahului perniagaan perubatan dengan 25 buah pusat rawatan pakar di seluruh Malaysia.

Muhammad Ali juga meninggalkan buah pemikirannya mengenai bidang perniagaan dan ekonomi antaranya dalam tiga buku bertajuk “Membujur Lalu: Satu Pengalaman Orang Melayu Dalam Pengurusan” (1995), “Bisnes Satu Cabang Jihad: Pembudayaan Bisnes untuk Survival” (2003) dan “Khalifah Ganti Superman” (2011).

Lulusan sarjana muda ekonomi dari Universiti Malaya pada 1969 ini juga pernah menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada beberapa universiti di Malaysia.

Beliau turut dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah pada 2007 kerana sumbangannya yang besar kepada pembangunan usahawan dan ekonomi ummah.

Semasa hayatnya, Muhammad Ali gigih berusaha menanam kesedaran dalam kalangan orang Melayu dan Islam yang “jihad bisnes” penting untuk dipraktikkan. 

Seruan “jihad bisnes” sering diulang-ulang dalam beberapa wawancaranya bersama media ditujukan khas kepada golongan ahli perniagaan, usahawan dan barisan eksekutif korporat Melayu Muslim yang diterajui umat Islam.

“Ahli bisnes yang berjihad akan bertindak menjayakan bisnes memburu harta kekayaan bagi menyempurnakan antara cabang utama maksud Maqasid Syari’ah, iaitu menjamin harta untuk maslahat Islam bertujuan membela masa depan umat. 

“Oleh itu, mereka dituntut melakukan semua aktiviti bisnes dengan niat, cara dan kaedah yang serasi dan sehaluan dengan satu perjuangan bertaraf jihad,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan Sinar Harian.

Pada penghujung 2013, Muhammad Ali menjadi perhatian kontroversi apabila tulisannya di akhbar Sinar Harian dituduh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja Johor.

“Saya sangat memandang berat dan serius tuduhan terhadap diri saya yang mencemar nama baik dan reputasi saya,” katanya, sebagai reaksi terhadap tanggapan itu.

Beliau kemudian memulangkan tiga darjah kebesaran negeri Johor yang dikurniakan kepadanya dan pendirian itu dihormati oleh Jumaah Majlis Diraja Johor.

“Saya minta masyarakat umum khasnya rakyat negeri Johor membaca artikel itu dan menilai sendiri sama ada penulisan itu mengandungi unsur menderhaka kepada raja atau tindakan tidak bertanggungjawab atau bertentangan dengan Rukun Negara,” katanya.

Pada pertengahan 2016, Muhammad Ali bersama anak lelakinya, Omar Ali mengerjakan teater “Dato’ Seri” yang diadaptasi daripada karya Shakespreare, Macbeth, sebuah pementasan yang relevan dengan suasana politik semasa negara.

Setahun kemudian, pada Ogos lepas, pasangan ayah anak itu berganding sekali lagi memindahkan novel George Orwell, “The Animal Farm” ke pentas dengan judul “Kandang”, juga dilihat satu kritikan kepada perkembangan semasa.

Tentang penglibatannya dalam dunia teater, Muhammad Ali berkata beliau meminati seni sejak kecil dan suka melukis serta menulis.

“Cuma untuk kerjaya, saya memilih korporat namun untuk berjaya, perlu ada seninya juga,” katanya dalam satu wawancara dengan Sinar Harian. – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen