KEPUTUSAN tindakan undang-undang oleh penduduk terhadap pembangunan tanah bukit di Sungai Ara, Pulau Pinang, akan menentukan sama ada kerajaan negeri boleh mengabaikan kelulusan yang diberikan oleh pentadbiran sebelum ini.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kes penduduk Sungai Ara, yang kini tertangguh di Mahkamah Rayuan, adalah petunjuk penting sama ada kerajaan sekarang terpaksa mematuhi keputusan pendahulunya.
Penduduk di beberapa apartmen dan kejiranan di Sungai Ara sepakat untuk menghentikan pembangunan Sunway Hills di kawasan lereng bukit berhampiran kediaman mereka.
Cadangan pembangunan itu membabitkan 600 apartmen dan banglo di kawasan tanah bukit seluar 32.4 hektar, dengan kira-kira 43% projek di kawasan lereng bukit berkecerunan melebihi 25 darjah.
Tanah untuk projek itu dilaporkan dizonkan untuk perumahan berkepadatan umum dan rendah di bawah Rancangan Polisi Kawalan dan Pembangunan (Pelan Dasar) yang telah diluluskan pada tahun 1996 oleh Jawatankuasa Perancang Negeri ketika Barisan Nasional mentadbir kerajaan negeri.
Namun di bawah Pelan Struktur Pulau Pinang 2007, tiada pembangunan dibenarkan di tanah berketinggian 76 meter dari paras laut ke atas dan tanah lereng bukit berkecerunan melebihi 25 darjah, melainkan ia projek khas.
Pada 2012, pihak majlis meluluskan projek pembinaan itu, menyebabkan penduduk membantah pembangunan itu di Lembaga Rayuan negeri.
Mereka menang pada kali pertama, namun tewas pada kali kedua selepas pihak pemaju mencabar keputusan lembaga terbabit di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang tahun ini.
“Sekiranya penduduk menang kes di Mahkamah Rayuan, kita tidak perlu lagi mengikut kelulusan yang diberikan kerajaan sebelum ini.
“Kerajaan negeri menyokong kes penduduk ini,” kata Lim ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Deepavali Penang Development Corporation.
Kerajaan negeri sebelum ini menyatakan kebimbangan mereka sekiranya membatalkan persetujuan yang diberikan kepada pemaju akan membawa kepada pentadbiran negeri perlu membayar pampasan.
Kerajaan Pulau Pinang turut mengesahkan semula pihaknya tidak akan membenarkan pembangunan di kawasan bukit berketinggian 76 meter dari paras laut ke atas dan kawasan lereng bukit melebihi kecerunan 25 darjah.
Ditanya sekiranya kerajaan negeri akan mengehadkan projek khas kepada projek infrastruktur awam, Lim berkata pihak berkuasa tidak akan membenarkan mana-mana projek bangunan pencakar langit dibina di lokasi sedemikian.
“Pembinaan jalan atau sebuah rumah boleh dibenarkan. Tetapi tidak kepada bangunan tinggi,” katanya.
Kes Sungai Ara dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 13 November depan. – 31 Oktober, 2017.
Komen