THE Summit Bukit Mertajam, yang dulunya pusat beli-belah terkemuka, kini antara contoh kawasan komersial yang terbiar dan dihidupkan semula oleh warga asing.
Seorang demi seorang peniaga keluar dari pusat beli-belah itu yang ketika awal 2000 menjadi pembangunan baharu di kawasan tengah bandar Pulau Pinang.
Bagaimanapun, kedai-kedai terbiar ini kini berubah menjadi kedai menjual barangan yang memenuhi keperluan warga asing khususnya dari Bangladesh, Nepal, Filipina dan Pakistan.
Penolong jualan di The Summit berkata kira-kira 90% yang memenuhi pusat beli-belah itu kini adalah warga asing.
“Sikit sangat orang tempatan yang datang ke sini berbanding warga asing,” kata Jesen Ong, yang bekerja di kedai menjual telefon.
Bagaimanapun, katanya kebanyakan kedai yang dikendalikan oleh warga asing di situ berlesen.
Tinjauan sekitar pusat beli-belah itu mendapati kebanyakan kedai menjual telefon bimbit, pakaian dan barangan asas khusus untuk warga asing.
Kebanyakan kedai diuruskan oleh warga Pakistan dan Bangladesh.
Seorang lagi jurujual yang enggan dinamakan berkata rakyat Malaysia jarang ke pusat beli-belah itu walaupun masih ada kedai yang dikendalikan oleh warga tempatan.
Seorang peniaga kedai berhampiran bangunan pra perang berhampiran The Summit berkata keadaan serupa berlaku di sepanjang Jalan Ooh Chooi Cheng dan Jalan Stesen.
Kedai termasuk pemborong sayuran dan kedai menjual barangan import dari negara asal warga asing, semakin banyak dibuka di bangunan pra perang di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu.
Beliau mendakwa sebahagian lesen bagi kedai itu didaftarkan di bawah nama penduduk tempatan yang juga pasangan kepada warga asing terbabit. – 29 Disember, 2019.
Komen