Pendatang asing ambil alih, hidupkan kawasan komersial terbengkalai


Ragananthini Vethasalam

Jalan Tun Tan Siew Sin yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Silang kini dikenali sebagai Mini Dhaka Lembah Klang kerana jumlah peniaga Bangladesh di sana yang menjual pelbagai barangan daripada bahan makanan hinggalah kepada pakaian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Disember, 2019.

PENDATANG asing menjadikan kawasan komersial terbiar kembali hidup dengan pelbagai  perniagaan dan aktiviti.

Di ibu negara, Jalan Tun Tan Siew Sin yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Silang merupakan contoh utama kawasan komersial di Lembah Klang yang diambil alih oleh warga asing.

Ia kini dikenali sebagai Mini Dhaka Lembah Klang kerana jumlah peniaga Bangladesh di sana yang menjual pelbagai barangan daripada bahan makanan hinggalah kepada pakaian.

Perkara sama juga berlaku di bahagian lain di Malaysia yang gagal dilihat potensinya oleh penduduk tempatan dan secara perlahan-lahan menjadi hab yang memenuhi keperluan tenaga pekerja asing.

Pakar hartanah Siders Sittampalam berkata hartanah di kawasan tersebut tidak hidup kerana beberapa faktor seperti masalah tempat letak kereta dan binaan yang sempit sebelum ia diambil alih oleh warga asing.

“Dengan kedatangan pendatang ke sana, mereka memberi nafas baharu,” katanya sambil menambah pertumbuhan di kawasan seperti ini masih agak perlahan berbanding kawasan komersial lain yang berjaya.

Ini sebahagian besarnya disebabkan sifat imigran di tempat ini, katanya.

Perniagaan dijalankan pendatang berkembang pesat di kawasan itu bagi memenuhi keperluan komuniti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Disember, 2019.

PPC International Sdn Bhd MD berkata walaupun pertumbuhan sewa di rumah kedai di Jalan Tun Tan Siew Sin meningkat, ia masih tidak mampu menandingi kawasan lain seperti Petaling Street.

“Jika anda melihat pertumbuhan sewa, ia meningkat sedikit tetapi tidak secepat hartanah kedai lain. Ia hanya berkembang semata-mata seiring dengan peredaran masa,” katanya.

Katanya, rakyat Malaysia secara amnya tidak berminat untuk melabur dalam hartanah di tempat dengan kadar pendatang asing yang tinggi dengan konotasi tertentu yang dikaitkan dengan pendatang.

Siders berkata perniagaan dijalankan pendatang berkembang pesat di kawasan itu bagi memenuhi keperluan komuniti.

“Di sana ada pasar untuk pendatang sehingga menjadi hampir seperti pusat komersial dan juga dekat dengan pengangkutan awam LRT dan stesen bas yang semuanya berada di kawasan sekitar,” katanya.

Perniagaan di kawasan yang dikawal pendatang dijalankan dengan cara sama seperti di negara asal mereka serta menjual barangan dari sana.

Ditanya mengenai nilai hartanah di Jalan Tun Tan Siew Sin, Siders berkata lot kedai mungkin bernilai antara RM5 juta hingga RM5.5 juta.

Beliau menambah harga yang diminta untuk kedai empat tingkat tertentu meningkat sehingga RM6.8 juta.

Menurut beliau, ada yang membeli hartanah komersial termasuk hotel bajet.

Sementara itu, Presiden Persatuan PKS Malaysia, Michael Kang berkata senario ini berlaku sejak beberapa lama.

“Ia kelihatan seperti terdapat satu lagi komuniti perniagaan baru yang sudahpun wujud di negara kita,” katanya.

Kang berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan tidak melihatnya sebagai gangguan kepada perniagaan mereka dan beberapa perniagaan yang menjalankan perniagaan imigran ini membantu memenuhi keperluan mereka.

“Kelihatannya banyak PKS di negara kita memerlukan komuniti perniagaan ini dalam kehidupan harian mereka,” katanya. – 29 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen