Kurang pekerja mahir punca hartanah rosak, kata pemaju


Khoo Gek San

Sebahagian besar aduan berhubung kerosakan hartanah yang sudah siap berpunca daripada kekurangan tenaga kerja mahir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2019.

ADUAN pembeli berhubung kerosakan pada hartanah yang telah siap, sebahagian besarnya berpunca daripada kekurangan tenaga kerja mahir sehingga menyebabkan pemain industri kini berada dalam situasi tersepit.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Johor Malaysia (Rehda) Steve Chong Yoon On berkata hal tersebut menjadi lebih buruk apabila sukar mendapatkan tenaga kerja baharu yang tidak mahir untuk membina bangunan yang tidak mempunyai kerosakan.

Pelbagai program dianjurkan oleh kerajaan untuk mengesahkan pekerja asing haram menyebabkan banyak pekerja mahir meninggalkan negara ini, sekaligus memaksa pemaju mencari pengganti.

“Tahap kemahiran membina bangunan hari ini tidak setanding masa lalu. Selepas buruh asing mahir yang bekerja di bidang pembinaan selama lima hingga enam tahun pulang ke negara mereka, satu kumpulan baru pekerja asing tiba. Sukar bagi mereka untuk mencapai tahap kemahiran yang sama dalam masa yang singkat.

“Ini adalah keadaan yang menyedihkan dalam industri pembinaan. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, pemaju menerima lebih banyak aduan daripada pemilik rumah apabila mereka mendapat kunci mereka. Dianggarkan bahawa dalam tempoh tiga hingga empat tahun yang lalu, aduan pemilik rumah terhadap kecacatan rumah mereka telah meningkat tiga kali ganda,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata kedua-dua pemaju dan subkontraktor menerima lebih banyak aduan dari pelanggan yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerja yang buruk.

Beliau menambah bahawa adalah tanggungjawab pemaju untuk membaiki kerosakan itu, namun ia akan menghasilkan kos tambahan.

Menurutnya lagi, penubuhan pelbagai saluran aduan seperti Tribunal untuk Tuntutan Pembeli Rumah dan lain-lain telah meningkatkan bilangan aduan dan pemfailan tuntutan.

Beliau menambah bahawa peningkatan dalam penggunaan media sosial juga adalah satu lagi faktor.

“Pemilik rumah boleh menghantar aduan di media sosial, seperti Facebook, dan segera menarik banyak ulasan dari netizen,” katanya.

“Kami bertanggungjawab untuk memperbaiki kerosakan, oleh itu, pengambilan pekerja tidak mahir menyebabkan standard tidak dapat dipenuhi dan ia meningkatkan kos kami,” katanya.

Chong berkata beberapa kecacatan tidak boleh dilihat serta-merta dan hanya dapat diperhatikan apabila terdapat kebocoran ketika hujan.

Bagaimanapun, presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee, berkata pemilik rumah sekarang lebih berhati-hati, dengan itu mereka memeriksa sepenuhnya hartanah mereka untuk memastikan ia bebas daripada kerosakan.

Beliau juga tidak bersetuju dengan Chong yang berkata bahawa kecacatan itu semata-mata disebabkan pekerja yang kurang berkemahiran.

“Pemilik rumah mengadu bahawa unit tersebut rosak kerana banyak faktor. Tidak dapat dikatakan bahawa ini hanya disebabkan kurangnya pekerja asing.

“Selain itu, kualiti unit perumahan merupakan pandangan peribadi, dan sukar untuk mencari 100% unit rumah yang tidak rosak,” katanya.

Beliau bersetuju bahawa industri pembinaan memang menghadapi kekurangan pekerja mahir.

Pekerja asing tidak sanggup untuk tinggal di Malaysia walaupun mereka dibayar gaji yang lebih tinggi.

“Indonesia mempunyai lebih banyak projek pembangunan, dan gaji di sana juga kini menyamai Malaysia, jadi pekerja asing Indonesia enggan pulang ke sini.

“Di Vietnam pula permintaan mereka untuk gaji semakin meningkat,” katanya.

Bagi pekerja warga Bangladesh, proses perjanjian dua hala mengenai pengambilan pekerja antara kedua-dua negara adalah perlahan. Pemain industri pembinaan tempatan juga tidak biasa dengan pekerja Pakistan dan kemahiran yang mereka miliki.

Chong sebaliknya berkata industri pembinaan menghadapi masa yang sukar, dengan itu beliau menyeru kerajaan mengambil tindakan untuk memperbaiki keadaan.

“Saya cadangkan kerajaan dapat mencari cara untuk mengurangkan kos pembinaan dan menjadikan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan. Bank perlu melonggarkan permohonan mereka untuk pinjaman,” katanya. – 26 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen