Moga pemimpin agama masih ada pertimbangan akal, kata ketua uskup KL


Ragananthini Vethasalam

Leow berkata keharmonian beragama adalah batu asas kemakmuran Malaysia yang harus dipertahankan oleh semua rakyat tanpa mengira fahaman dan anutan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Disember, 2019.

KETUA Uskup Kuala Lumpur Julian Leow Beng Kim berharap pemimpin pelbagai agama di Malaysia masih ada pertimbangan akal dan hati budi untuk mengukuhkan hubungan dan perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Katanya, itulah harapan beliau sempena sambutan Hari Krimas tahun ini.

“Sudah tentu akan jadi hari yang paling menyedihkan dalam sejarah Malaysia seandainya kita tidak lagi boleh mengucap Selamat Hari Krismas kepada penganut Kristian, atau Selamat Hari Deepavali kepada penganut Hindu, atau Selamat Hari Wesak kepada penganut Buddha,” katanya semasa jamuan teh anjuran Yayasan Kristian Malaysia, petang tadi.

“Kita berdoa semoga pemimpin agama masih ada pertimbangan akal dan hati budi untuk menggalakkan usaha mengukuhkan ikatan persahabatan dalam kalangan rakyat Malaysia, dan bukannya merenggangkan sesama kita,” tambahnya.

Leow yang juga pengerusi yayasan berkata keharmonian beragama adalah batu asas kemakmuran Malaysia yang harus dipertahankan oleh semua rakyat tanpa mengira fahaman dan anutan.

Katanya, rakyat Malaysia tidak boleh membenarkan agama dan kaum menjarakkan mereka serta mencetuskan kebimbangan antara satu sama lain.

Majlis turut diraikan antaranya dengan kehadian Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Industri Utama Teresa Kok, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Kamal Shirin Lakhdir, dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Disember, 2019.

“Mustahak untuk setiap rakyat Malaysia merayakan kesatuan kita dalam kepelbagaian, demi membangun dan memajukan negara,” katanya, dalam majlis yang dihadiri lebih kurang 200 tetamu.

Beliau mengingatkan keunikan Malaysia di dunia kerana kesatuan dalam kepelbagaian, dengan rakyatnya yang berbilang agama, pelbagai kaum dan keturunan serta budaya, yang tinggal umumnya dengan harmoni dan sejahtera.

“Perbezaan dalam makanan, perayaan, anutan dan pemikiran kitalah yang menjadikan kita Malaysia.

“Kita adalah rangkuman kepelbagaian ini yang menjadikan kita Malaysia. Jangan kita lupa diri,” katanya.

Liew turut memetik mesej bertajuk “Peaceful Co-Existence the Right Way” (Jalan benar hidup bersama dengan damai) oleh Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohd Al-Bakri, yang tidak dapat hadir pada majlis itu.

Majlis turut diraikan antaranya dengan kehadian Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Industri Utama Teresa Kok, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Kamal Shirin Lakhdir, dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Saifuddin turut hadir pada jamuan teh anjuran Yayasan Kristian Malaysia, petang tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Disember, 2019.

Sementara itu, Saifuddin menggesa rakyat Malaysia meraikan Krismas dalam semangat persaudaraan, tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang.

Katanya, adalah penting untuk rakyat Malaysia menerima satu sama lain biarpun ada perbezaan antara sesama mereka.

Beliau memberikan contoh persefahaman baik yang sedia ada antara Muslim dan Kristian di serata dunia dan di Malaysia.

Saifuddin turut berkongsi anekdot peribadi, tentang isterinya yang juga bekas pelajar Convent Bukit Nanas.

“Beliau Muslim tetapi itu tidak pernah jadi masalah.

 “Lebih separuh penduduk dunia adalah Muslim dan Kristian. Tanpa kedamaian dan keadilan antara keduanya, tidak akan ada keamanan di dunia,” katanya. – 25 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen