Annuar nafi terbabit urus niaga ‘tajaan’ Red Warrior


Muzliza Mustafa

PENGERUSI Mara yang digantung jawatannya, Annuar Musa hari ini memberitahu jawatankuasa siasatan dalaman beliau tidak terbabit dengan urus niaga “tajaan” antara Mara Investment(PNB) dan Universiti Kuala Lumpur(UniKL) dengan pasukan bola sepak Kelantan, Red Warrior.

“Saya tidak terlibat dalam membuat keputusan atau pernah mengarahkan bagaimana mereka patut belanjakan duit untuk pemasaran dan penjenamaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di ibu pejabat Mara hari ini.

Annuar berkata beliau menjawab soalan ahli jawatankuasa itu selama sejam dan antaranya ialah mengenai salah guna dana pendidikan itu untuk menaja pasukan bola sepak Kelantan.

Beliau juga mengambil kesempatan itu untuk menjelaskan kepada ahli jawatankuasa maksud “tajaan” membabitkan pasukan Red Warrior itu.

“Ada antara soalan yang ditanya menunjukkan mereka kurang pengetahuan mengenai rundingan antara anak syarikat dengan Red Warrior. Jadi saya jelaskan kepada mereka,” katanya.

Annuar berkata sejak 2008 Red Warrior tampil dengan pakej komersial untuk syarikat korporat untuk menggunakan pasukan itu sebagai medium pemasaran dan penjenamaan.

“Ia bukan dalam erti kata tajaan yang biasa kita tahu tetapi ia lebih kepada pakej urus niaga perniagaan menggunakan pasukan bola sepak sebagai alat pemasaran,” katanya.

Katanya, dalam urus niaga perniagaan itu, PNB hanya membayar RM200,000 untuk pakej yang bernilai RM700,000.

“Mereka hanya bayar sebanyak itu. Jumlah diskaunnya besar,” katanya.

Beliau menganggukkan kepada ketika wartawan bertanya adakah Red Warrior diperdaya.

“Keputusan dibuat oleh pihak pentadbiran tetapi saya tidak tahu siapa yang buat keputusan. Tetapi dalam semua urus niaga perniagaan ia berdasarkan kepada konsep pembeli yang berminat dan penjual yang sanggup,” katanya.

Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan itu berkata Mara menerima urus niaga terbaik daripada pakej komersial itu.

“Saya tahu ia tidak adil tetapi kita perlu menyokong badan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata pakej komersial itu wujud sejak 10 tahun lalu tanpa masalah dan ia hanya ditimbulkan baru-baru ini oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Tetapi tidak ada sesiapa berani beritahu apa yang beliau cakap itu salah,” katanya.

Annuar berkata beliau tidak ada rancangan untuk menyaman Tunku Ismail.

“Ia bukan isu dan saya anggap ia sebagai polemik,” katanya.

Katanya, tidak ada apa yang hendak disembunyikan dan itu sebabnya beliau bercakap kepada media.

“Saya menunggu mereka (jawatankuasa audit dalaman) panggil untuk jelaskan isu ini. Saya gembira hendak bertemu mereka hari ini selepas tiga bulan,” katanya.

Ini kali pertama Annuar bertemu ahli jawatankuasa itu untuk disoal.

Beliau masih dalam cuti bergaji hingga diberitahu kelak.

Annuar diminta bercuti selepas Tunku Ismail mendakwanya menggunakan kedudukan sebagai pengerusi Mara untuk memaksa PMB dan UniKL menaja pasukan bola sepak Kelantan sebanyak RM700,000.

Annuar menegaskan Mara tidak menaja pasukan Kelantan dan berkata UniKL ialah entiti swasta yang membuat keputusan sendiri.

UniKL dimiliki sepenuhnya oleh Mara sementara PMB ialah syarikat pelaburan agensi itu.

Walaupun Annuar menafikan tuduhan itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Ismail Sabri Yaakob mengarahkan kedua-dua unit Mara itu menghentikan tajaan.

Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh, ialah bekas presiden Persatuan Bola sepak Kelantan sehingga November lalu, tetapi kekal bertindak sebagai penasihat persatuan. – 25 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen