Wanita jadi balu, anak-anak jadi yatim piatu kerana komunis, kata pesara polis


Alfian Z.M. Tahir

Pesara polis Cawangan Khas Kumpulan F memegang sepanduk menolak sebarang cubaan menghidupkan semula komunis di perhimpunan semalam. – Gambar The Malaysian Insight Seth Akmal, 25 Disember, 2019.

KOMUNIS tidak boleh dianggap pejuang kemerdekaan kerana mereka mewujudkan masalah kepada negara, kata pesara polis yang berjuang melawan Parti Komunis Malaya (PKM). 

Bekas komando VAT69 Halim Isham yang hadir perhimpunan anti komunis di Padang Merbok semalam memberitahu The Malaysian Insight yang penghargaan itu juga mencemarkan maruah anggota keselamatan lain dan keluarga mereka yang kehilangan orang kesayangan ketika zaman darurat di negara ini. 

“Wanita jadi balu dan anak-anak jadi yatim piatu kerana komunis. Untuk iktiraf mereka sama seperti tidak menghormati balu pejuang kemerdekaan negara ini. 

“PKM dianggap kumpulan pengganas dahulu, mengapa kita perlu pertimbangkan mereka sebagai pejuang kebebasan (sekarang). Mereka tak berjuang untuk kemerdekaan,” kata Halim kepada The Malaysian Insight. 

Bekas komando itu juga mendesak Kementerian Dalam Negeri dan polis bertindak segera ke atas kumpulan yang cuba menghidupkan ideologi komunis itu. 

“Kami sudah penat mendengar yang tindakan akan diambil. Kami mahu mereka yang terlibat ditangkap. Keselamatan negara kita sedang terancam,” kata Halim yang juga pernah terlibat dalam misi menyelamat empat orang rakyat Malaysia yang diculik pengganas Abu Sayyaf. 

Halim adalah antara anggota VAT69 yang berjumpa Nur Misuari, pemimpin dan pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk menyelamatkan tahanan itu pada 2016. 

Halim juga terlibat dalam Op Rambo II, operasi untuk menahan bekas tentera laut Filipina Rizal Alih yang memberontak dan membunuh seorang jeneral tentera pada 1994. 

Zaman darurat kerana komunis meninggalkan kesan mendalam kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengenal kaum dan agama. – Gambar The Malaysian Insight Seth Akmal, 25 Disember, 2019.

Bagi bekas anggota polis yang berkhidmat dalam unit Cawangan Khas Pasukan F S Sriharan pula, komunisme sudah tidak relevan dan sebarang cubaan untuk menghidupkan semula gerakan itu tidak boleh diberi muka. 

Sritharan memberitahu The Malaysian Insight yang zaman perang sudah berlalu dan tidak ada lagi keperluan untuk komunis menghidupkan semula ideologi mereka. 

“Tidak ada keperluan untuk menghidupkan semula gerakan itu kerana ia sudah tidak relevan. Jika mereka hanya sekadar mahu ingat, itu okaylah tetapi untuk apa? Semua sudah berakhir, tak perlu lagi semua itu,” kata Sritharan, 61. 

Halim dan Sritharan mengulas kejadian sambutan ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai yang dibuat di Kajang, Selangor pada 1 Disember lalu. 

Perhimpunan anti komunis semalam dianjurkan oleh Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) 

Hampir 400 orang bekas pegawai polis hadir perhimpunan bermula jam 9 pagi itu. 

Menceritakan pengalamannya berkhidmat sebagai anggota polis, Sritharan berkata beliau pernah menyamar sebagai seorang penoreh getah di ladang Kepong Meh, Mentakab di Pahang pada Jun 1985 untuk mengesan Wong Chew Nam, ahli jawatankuasa daerah Pasukan Bersenjata ke-15 (AWF) PKM. 

Wong dikenali sebagai Ah Poh Suk. 

“Saya berumur 28 tahun dan tugas saya adalah mengesan Ah Poh Suk dan kumpulannya. Saya bekerja menoreh getah selama 11 bulan di ladang itu. Ah Poh Suk selalu datang ke ladang minta makanan daripada pemiliknya- sebuah keluarga Cina. 

“Saya menyamar guna nama Raguvan dan berjumpa Ah Poh Suk sebelas kali. Selepas 11 bulan, pada Mei 1986, arahan masuk, kami ditugaskan menangkap mereka hidup-hidup tetapi ia tidak berlaku. Ah Poh Suk dan dua anggotanya terbunuh ketika cuba menyerang orang saya bila mereka serbu rumah,” kata Sritharan. 

Ditanya pendapatnya mengenai komunisme, Sritharan berkata mereka hanya mahu menyingkirkan kerajaan yang dipilih rakyat secara demokratik. 

“Mereka hanya mahu buat masalah. Kepada negara dan rakyat. Mereka mahu gulingkan kerajaan yang dipilih rakyat secara demokratik.” – 25 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen