Orang India tanpa kewarganegaraan bukan masalah besar, kata Subramaniam


Noel Achariam

Presiden MIC S.Subramaniam (kanan) berkata yang beliau “tak rasa begitu” kerana masalah itu sudah ditangani melalui program MyDaftar yang dilaksanakan sejak 2011. Beliau berkata demikian ketika menghadiri upacara penyerahan dokumen kewarganegaraan kepada 177 rakyat Malaysia yang "baru", majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 31 Oktober, 2017.

KAUM India tanpa kewarganegaraan bukanlah masalah besar di negara ini, kata Presiden MIC S.Subramaniam.

Menteri kesihatan itu berkata yang beliau “tak rasa begitu” kerana masalah itu sudah ditangani melalui program MyDaftar yang dilaksanakan sejak 2011.

“Ada orang yang melontarkan perkara ini tanpa asas dengan mengatakan ada 300,000 (orang India tanpa kewarganegaraan), itu adalah penipuan dan tidak wujud.

“Jadi untuk uji kesahihan kenyataan itu, kami sudah turun ke semua tempat seluruh negara.

“Kami juga dapat bantuan semua parti politik dan 15 badan bukan kerajaan utama untuk membantu.

“Dengan semua program (yang kami lakukan) jika mereka tak keluar juga, jadi di mana semua orang ini?” katanya pada sidang media di ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sebelum ini, Subramaniam mengatakan dakwaan pembangkang yang wujudnya 300,000 orang India tanpa MyKad sebagai tidak benar.

Katanya, program MegaMyDaftar tahun ini sahaja sudah mendaftar 2,500 orang India tanpa kewarganegaraan.

“Ada yang kata lebih ramai (orang India tanpa kewarganegaraan), tetapi saya akan berpegang kepada jumlah itu.

“Jika mereka datang dan jumpa, kami akan tengok macam mana kami boleh tolong mereka.

“Tetapi, jika mereka tak mendaftar dengan kami jadi bagaimana kami nak tahu jumlah (sebenar)nya?”

Subramaniam bagaimanapun tidak menafikan kemungkinan lebih ramai orang India tanpa kewarganegaraan di negara ini.

“Mungkin ada. Saya tak mahu letak jumlah, tetapi program kami dengan MyDaftar hanya menarik 2,500 pemohon.”

Sebelum itu, Perdana Menteri Najib Razak dan Subramaniam menyerahkan dokumen warganegara kepada 177 pemohon berjaya.

Tahun ini, 1054 orang India berjaya dalam permohonan menjadi warganegara Malaysia.

Program MyDaftar dilaksanakan antara 2001 sehingga 2016 dan menyelesaikan 7108 kes daripada 12,726 kes yang mendaftar.

Apabila ditanya tentang laporan yang mengatakan ada lebih 20,000 orang India tanpa kewarganegaraan, Subramaniam mengatakan jumlah itu datang daripada organisasi bukan kerajaan.

“Kami mahu selesaikan isu ini secepat mungkin. Saya rasa kita dah buat semua yang mungkin untuk cuba selesaikan masalah ini. Terpulang kepada rakyat yang ada masalah untuk tampil ke depan.” – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen