Wang tak dapat ganti nyawa Syed Mohd Azlan, kata keluarga


Diyana Ibrahim

Keluarga Syed Mohd Azlan mahu tiga anggota polis yang pernah didakwa membunuh anak mereka didakwa kembali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Disember, 2019.

WANG ringgit tidak akan dapat menjadi ganti nyawa Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur yang maut semasa dalam tahanan polis lima tahun lalu, kata keluarga allahyarham.

Adik mangsa, Syed Mohamad Syariff berkata walaupun keluarganya gembira dengan kejayaan tuntutan saman sivil atas kematian itu, mereka tetap mahu tiga anggota polis yang terlibat didakwa.

Kerana itu beliau amat berharap Peguam Negara Tommy Thomas dapat membuat rayuan semula bagi kes tiga anggota polis, yang dibebaskan dari tuduhan menyebabkan kematian pada 2016.

Beliau berharap, mahkamah kali ini akan menyebelahi mereka seperti keputusan kes saman sivil tersebut.

“Kita memang gembira menang tapi wang ringgit tidak boleh ganti dengan nyawa. Ia cuma bukti kita berada di pihak benar,” kata Syed Mohamad Syariff kepada The Malaysian Insight.

Katanya, jumlah wang itu tidak dapat dibandingkan dengan penderitaan yang dialami keluarga mereka sejak lima tahun lalu.

“Sebab itu kita mengharap peguam negara akan membuat rayuan semula dalam kes jenayah di Mahkamah Tinggi,” katanya lagi.

Abangnya Syed Mohd Azlan, 25, yang bekerja sebagai jurukimpal ditahan polis pada 3 November 2014 kerana disyaki memiliki senjata api dan terlibat dalam rusuhan.

Mangsa meninggal dunia lima jam kemudian dalam tahanan polis di Polis Sungai Rengit.

Syed Mohd Azlan, 25, yang bekerja sebagai jurukimpal ditahan polis pada 3 November 2014 kerana disyaki memiliki senjata api dan terlibat dalam rusuhan. Mangsa meninggal dunia lima jam kemudian dalam tahanan polis di Polis Sungai Rengit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2019.

Tiga anggota polis Weddin Mojingkin, Joshua Perait dan Muhammad Bunyamin kemudiannya dituduh di bawah Seksyen 304 (b) kanun keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Pendakwaan itu susulan dari laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati kematian itu berkait dengan kekerasan fizikal oleh polis yang menjalankan tangkapan dan soal siasat.

Ketiga-tiganya bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

“Kita dimaklumkan pendakwaan kepada tiga anggota polis ini telah digugurkan dan kita pun tidak diberitahu sebab keluarga tidak ada kaitan dalam kes ini.

“Untuk kes jenayah ini yang mempunyai kuasa pendakwaan adalah peguam negara. Sebab itu kita berharap Peguam Negara dapat pertimbangkan untuk buat rayuan semula dalam kes jenayah,” katanya.

Khamis lalu Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Khamis mengarahkan polis membayar ganti rugi lebih RM400,000 kepada keluarga Syed Mohd Azlan.

Hakim See Mee Chun membuat keputusan selepas memeriksa semua bukti dan menyatakan bahawa Syed Mohd Azlan adalah mangsa dalam kes berkenaan.

Sementara itu bapa Syed Mohd Azlan, Syed Mohamed Nur mengharapkan tragedi menimpa anaknya tidak akan terjadi kepada keluarga lain.

Beliau berkata meskipun menang dalam kes saman namun tetap kecewa dan sedih apabila anak lelakinya mati dan keluarga langsung tidak dimaklumkan.

“Saya terima dengan keputusan mahkamah biarpun sedih tapi saya harap kejadian yang berlaku kepada anak lelaki saya tidak berlaku kepada keluarga lain,” katanya. – 25 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen