Apa keputusan siasatan 1MDB, soal Ahli Parlimen Puchong 


Muzliza Mustafa

KERAJAAN digesa untuk membuat keputusan berhubung siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas kes terbabit masih berlarutan tanpa sebarang kesimpulan, kata ahli parlimen pembangkang.

“Berapa lama lagi kita perlu tunggu? Kertas siasatan berganti antara polis dan Peguam Negara dan sudah banyak kali,” kata Gobind Singh Deo (Puchong-DAP).

Kali terakhir saya dengar seorang menteri berkata Peguam Negara sudah arahkan polis untuk menjalankan siasatan lanjut. Sebelum ini Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata kes itu sudah selesai. Kerajaan perlu maklumkan kepada kami apa yang berlaku. Ini adalah serius,” katanya.

Gobindh turut menegaskan apa yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung siasatan 1MDB.

Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis di Parlimen minggu lalu berkata keberadaan Jho Low tidak diketahui dan Malaysia meminta bantuan Interpol untuk menjejaki ahli perniagaan itu dan empat lagi yang lain untuk membantu siasatan dalam skandal 1MDB.

“Kita perlu menangkap dan menyoal siasat individu terbabit. Sama ada cukup bukti untuk membuat pendakwaan, itu perkara lain. Tetapi kita tidak pernah tahan atau merakam kenyataan individu terbabit,” kata Gobind. – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen