Pakatan janji tangkap MO1 dalam tempoh 100 hari berkuasa


Muzliza Mustafa

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad pada sidang media mengumumkan manifesto “Bersihkan Malaysia dari Najis Rasuah” bersama pemimpin PH lain di Parlimen hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 31 Oktober, 2017.

PAKATAN Harapan (PH) hari ini berikrar akan membersihkan Malaysia daripada korupsi, sebahagian janji pembangkang dalam manifesto pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad berkata dalam tempoh 100 hari PH berkuasa, mereka berikrar akan:

1. Menahan Malaysia Official 1 (MO1) dan “jerung” lain.

2. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat penyelewengan dana yang berlaku di 1MDB dan Felda.

3. Menubuhkan badan bebas untuk mengembalikan aset Tabung Haji (TH) dan wang rakyat yang dicuri dan disalah guna melalui korupsi.

4. Menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas dan melapor terus kepada Parlimen dan;

5. Menghapuskan rundingan terus untuk kontrak kerajaan.

Dr Mahathir juga menjelaskan lima rukun untuk memerangi korupsi.

Turut hadir pada sidang media hari ini ialah pemimpin PH lain seperti Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pemuda Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pemimpin DAP Teresa Kok dan Liew Chin Tong.

Ikrar untuk memerangi korupsi itu bagaimanapun bukanlah perkara baru kerana PH sudah banyak kali mengatakan perkara sama dalam jelajah seluruh negaranya.

Terbaru adalah semasa perhimpunan anti kleptokrasi yang diadakan di Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu. – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen