SEJAK kematian Loloq pada 2008, balunya Hariah Yaacob hanya dapat bergantung kepada pendapatan seniman itu yang tidak tetap daripada Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP).
Namun hidup Hariah bersama tiga anak hasil perkongsian hidup dengan Loloq kini makin sulit kerana cukai dikenakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas pendapatan itu banyak tertunggak.
Hariah, 47, kini sedang terpaksa menjual kediaman mereka di Petaling Jaya untuk melangsaikan tunggakan cukai ke atas bayaran royalti tersebut.
“Saya ibu tunggal dan tidak bekerja. Bayangkan waktu suami saya meninggal anak saya semua masih sekolah dan paling bongsu umur 7 tahun,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau tiada pilihan selain menjual rumah apabila menerima surat LHDN pada tahun lalu yang menuntut bayaran tunggakan cukai untuk pendapatan selama 10 tahun itu.
Hariah juga hairan kerana baru kini LHDN menuntut bayaran cukai itu.
“Saya rasa panik dan iklankan untuk jual rumah, kerana kena tanggung (tindakan) akibat tak bayar. Kenapa tuntut selepas hampir 10 tahun,” keluhnya.
Hariah turut mempertikaikan tindakan LHDN yang masih menuntut bayaran cukai daripada orang yang sudahpun meninggal dunia.
“Saya rasa dasar ini perlu diperbaiki kerana ibu tunggal seperti saya dan tidak bekerja. Bagaimana nak tanggung semua ini?
“Selepas arwah dah meninggal atau pun mana-mana pengkarya dah meninggal maka pewaris penama dikenakan cukai. Ia seharusnya dikecualikan cukai untuk pewaris dan penama,” katanya lagi.
Menurut Hariah beliau sudahpun berbincang dengan LHDN yang tetap berkeras agar tunggakan itu dilangsaikan mengikut tempoh ditetapkan.
The Malaysian Insight dalam usaha mendapatkan reaksi LHDN berhubung perkara ini.
Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis, terkenal dengan nama pena Nurbisa dan aktif menulis lirik sejak berusia 20 tahun.
Beliau juga berlakon filem dan drama antaranya Zombi Kampung Pisang dan Man Laksa. Antara lirik lagunya yang popular ialah Ghazal Untuk Rabiah, Mentera Semerah Padi dan Bonda. – 25 Disember, 2019.
Komen