Ustaz Haslin minta penjelasan majlis agama Singapura


Diyana Ibrahim

endakwah Haslin Baharim, yang dilarang berdakwah di Singapura, meminta pihak berkuasa agama di republik itu memberi penjelasan tentang dakwaan mengatakan ceramahnya boleh memecahbelahkan masyarakat. – Gambar YouTube, 31 Oktober, 2017.

PENDAKWAH Haslin Baharim, yang dilarang berdakwah di Singapura, meminta pihak berkuasa agama di republik itu memberi penjelasan tentang dakwaan mengatakan pengajaran agamanya boleh memecahbelahkan masyarakat.

Kerajaan Singapura semalam mengeluarkan larangan menyekat Haslin dan Mufti Zimbabwe, Ismail Menk daripada masuk dan berceramah di republik itu.

Haslin yang mengaku terkejut dan terkilan dengan larangan tersebut berkata pihak Majlis Agama Islam Singapura seharusnya bersikap profesional dengan memberikan beliau peluang untuk membuat penjelasan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sekatan tersebut.

Sekatan itu dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Singapura.

“Alasan pengharaman tersebut amat mengejutkan saya. Saya tidak tahu dari sumber mana yang mereka kata ceramah saya boleh memecahbelahkan keharmonian dan bukan Islam,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Katanya, apa yang mengejutkannya ialah kerana selama ini beliau bebas masuk keluar ke republik itu untuk berceramah.

“Saya memang kerap kali ke sana, cuma baru-baru ini dalam tempoh lapan bulan saya tak pergi sebab saya sakit. Tapi sebelum itu memang ada jemputan untuk saya bagi ceramah, dalam setahun biasa dua kali.

“Jadi apabila saya dihubungi oleh pihak berkuasa agama di sana semalam tentang larangan tersebut, saya agak terkejut. Saya faham mereka tak nak bagi saya ceramah, tapi kenapa mesti nak mengharamkan saya masuk ke Singapura.

“Seolah-olahnya saya ini penjenayah atau tokoh korporat, atau ahli politik. Siapa saya? Saya cuma rakyat biasa. Cara saya dilayan seolah-olah nak samakan saya dengan Zakir Naik,” katanya.

KDN Singapura dalam kenyataan rasminya melarang Haslin masuk ke republik itu pandangannya yang menggalakkan ketidakharmonian antara orang Islam dan bukan Islam yang disifatkan sebagai menyeleweng.

Haslin dan Ismail dijadualkan terlibat dalam program ceramah di atas kapal persiaran yang akan berlepas dari Singapura pada 25 November ini.

Haslin berkata ceramahnya di Singapura sebelum ini tidak pernah langsung menyentuh mengenai hal sensitif di negara berkenaan kerana sedia maklum dan patuh dengan piawaian yang dikeluarkan oleh majlis agama berkenaan.

“Saya memang tidak pernah dan kita memang sudah dimaklumkan dan diberi panduan apa yang kita boleh sentuh dan apa yang tidak masa ceramah, dan selama ini saya memang patuh.

“Cuma kebimbangan saya mungkin justifikasi mereka adalah melalui penyebaran video ceramah yang saya buat di Malaysia apabila mungkin saya ada ulas mengenai kaum dan agama.

“Tetapi itu pun biasalah, dalam konteks Malaysia, saya ulas mengenai rang undang-undang Islam (RUU 355) tetapi kalau nak kata saya pecah belah, itu jauh sekali.

“Mungkin video tersebut sudah disunting dan terkeluar daripada konteks apa yang saya katakan, itu yang kita bimbang sekarang ini.”

Katanya, orang yang biasa mendengar ceramahnya tahu pendekatannya yang lebih kepada santai dan humor.

Haslin juga terkenal dengan gelaran “Ustaz Bollywood” kerana sering menyelitkan lagu-lagu dari filem Bollywood.

“Kerana itu saya agak terkilan dengan arahan tersebut, kalau nak kata saya ini dikaitkan dengan Ismail Menk, saya tidak pernah mengenali beliau, tidak pernah bersua muka pun.

“Sebab itu saya sekali lagi meminta profesionalisme jabatan agama di sana untuk saya dibenarkan berjumpa mereka dan dapatkan penjelasan. Sebab ini hak saya.

“Saya tak pernah persoalkan undang-undang mereka, cuma saya ingin penjelasan kukuh supaya saya boleh menjelaskan apa saja salah faham,” katanya.

Haslin berkata beliau juga bersedia membuat permohonan maaf kepada Singapura jika pihak berkuasa agama di sana memberikan bukti kukuh tentang perbuatannya yang didakwa memecahbelahkan masyarakat.

“Sebab itu saya minta untuk adakan pertemuan sebab tuduhan itu agak berat dan mencemarkan nama saya seolah-olah saya ini jahat dan merosakkan hubungan masyarakat walhal sekelumit pun saya tak pernah berniat begitu,” katanya. – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Bukan kau jerrr yg kena bak kut tee pon kena

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan