Senator, seniman cadang pelepasan cukai pada warga seni


Nabihah Hamid

Senator Yusmadi Yusoff berkata kelonggaran perlu diberikan terutama waris seniman yang tidak ada punca pendapatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2019.

SENIMAN terutama artis yang sudah meninggal dunia wajar diberi pelepasan cukai ke atas pendapatan royalti, kata seorang senator PKR, Yusmadi Yusoff.

Katanya, kelonggaran perlu diberikan terutamanya waris seniman yang tidak mempunyai sebarang punca pendapatan dan bergantung sepenuhnya seniman terbabit.

Beliau memberi contoh kes dialami isteri kepada Loloq yang kini sukar membayar tunggakan cukai hasil ke atas royalti tersebut apabila penulis lirik terkenal itu meninggal dunia pada 2008.

“Royalti dapat pada balu tetapi ia dikenakan cukai pendapatan kerana secara perundangan ia adalah pendapatan.

“Untuk seseorang balu terutama yang bergantung harapan pada arwah dan balu tak bekerja adalah sangat membebankan sekiranya royalti dikenakan cukai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu prihatin pada nasib yang menimpa ahli keluarga seniman terbabit yang kini menjadi ibu tunggal dan anak yatim.

“Dalam konteks ini (pelepasan cukai) perlu untuk golongan seni seperti Loloq yang sangat berjasa membangun pembangunan seni dihargai,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Kes tersebut juga dibangkitkannya dalam sidang Dewan Negara minggu lalu.

Katanya, pengecualian cukai ini amat membantu golongan seni yang umum mengetahui mempunyai pendapatan bermusim.

“Orang seni pendapatan bermusim. Mereka perlukan perhatian berbeza dan kita menggalakkan ekonomi kreatif,” katanya.

Tambahnya, langkah itu juga akan membantu anggota keluarga kepada tokoh yang meninggal dunia baru-baru ini seperti penyanyi Saleem dan pemain dram kumpulan Search, Yazid.

Beban cukai ke atas pendapatan yang tidak tetap itu diakui penulis lirik Budhi Hikayat yang menjelaskan, hasil diraih komposer dan penulis tidak besar dan bergantung kepada penggunaan karya.

Penulis lirik lagu Awan Nano itu juga menyarankan agar kerajaan mengenakan cukai kepada syarikat penerbitan yang membuat keuntungan daripada karya tersebut.

“Cukailah daripada syarikat buat untung bukannya daripada seniman. Sebab keuntungan seniman banyak mana pun tidak macam syarikat penerbit.

“Selain itu dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini pendapatan komposer juga merosot sehingga 70%. Apa yang kami nak makan. Inikan pula pada yang sudah tiada,” katanya.

Cadangan itu dipersetujui komposer dan pengarah filem terkenal Norman Abdul Halim yang berpendapat pelepasan cukai itu diberikan kepada artis yang hanya meraih pendapatan royalti minimum.

“Ia khususnya bagi artis yang kurang berjaya atau baru meningkat naik. Bagi artis yang berjaya sewajarnya membayar cukai mengikut kadar sedia ada.

“Kerajaan sewajarnya memberi pengecualian cukai bagi pendapatan royalti bergantung kepada satu jumlah minimum yang berpatutan mengikut bilangan ahli keluarga bawah saraannya,” kata Norman. – 25 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen