KERAJAAN Pulau Pinang hari ini mengatakan ia kesal dialog anjuran pergerakan masyarakat sivil mengenai banjir dan pembangunan lereng bukit “dirampas” oleh mereka yang mempunyai agenda politik.
Timbalan Ketua Menteri II Dr P. Ramasamy mengatakan dialog pada Ahad yang dianjurkan Penang Forum, sebuah gabungan organisasi bukan kerajaan itu yang berniat baik tetapi menjadi majlis untuk mengecam kerajaan negeri oleh sekumpulan orang “yang menyamar sebagai ahli pergerakan masyarakat sivil”.
“(Golongan) Profesional dan pakar bercakap tentang banjir dan tanah runtuh berdasarkan fakta dan angka, tetapi malangnya suara mereka ditenggelamkan oleh mereka yang mahu menimbulkan kekecohan dan keraguan terhadap kerajaan Pulau Pinang.
“Sekumpulan kecil individu ini tidak boleh menyembunyikan kebencian mereka kepada kerajaan Pulau Pinang dan menggunakan peluang itu bukan sahaja untuk mengecam kerajaan dan perwakilan kerana tidak hadir tetapi juga memberi amaran yang kerajaan Pulau Pinang mungkin berubah pada masa akan datang.
“Tindakan politik seperti itu sudah diterima dalam kalangan perwakilan Umno yang menghadiri majlis itu. Walaupun, pemimpin pembangkang tersebut juga bersetuju untuk membangkitkan isu itu pada sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dialog itu yang diadakan di Persatuan Teochew menarik khalayak sekitar 200 orang. Ramai orang awam dan ahli pergerakan masyarakat sivil serta beberapa ahli politik Barisan Nasional termasuklah Ketua BN Pulau Pinang Chang Yeow, Ketua Pembangkang Negeri Jahara Hamid dan dua lagi ADUN BN hadir.
Ramasamy mengatakan beliau diserang kerana menjadi “lebih Umno daripada Umno” disebabkan pandangannya, dan pada masa yang sama pihak tersebut mengalu-alukan kedatangan perwakilan Umno dan “sambutan meriah” itu tentulah bukan satu kebetulan.
Apabila sesi soal jawab dibuka, beberapa hadirin mengeluarkan kenyataan yang mengecam kerajaan Pulau Pinang dan satu-satunya ADUN DAP yang hadir, Yap Soo Huey juga diganggu ketika bercakap.
Moderator dialog Ahmad Chik beberapa kali mengingatkan khalayak yang perbincangan itu bukan bersifat politik dan khalayak perlu menjaga emosi mereka ketika sesi soal jawab itu.
“Jelasnya, penganjur tidak berkuasa untuk mengawal soalan dan komen supaya mengikuti objektif sesi dialog itu.
“Saya tak pasti sama ada penganjur tahu majlis mereka akan dirampas oleh mereka yang sebenarnya tak berminat untuk tangani masalah banjir dan tanah runtuh pun tetapi kerana mempunyai agenda politik,” kata Ramasamy.
Beliau juga mengatakan yang isu ketidakhadiran perwakilan kerajaan juga timbul pada dialog itu, dan ada individu tertentu membalas mereka sibuk menghadiri rumah terbuka Deepavali.
“Sangat tak boleh diterima forum untuk membincangkan isu banjir dan tanah runtuh bertukar menjadi sesi mengecam perayaan agama Hindu. Sesiapa yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan itu perlu tampil meminta maaf,” katanya menambah yang dia mengetahui ada laporan polis dibuat susulan kejadian itu. – 31 Oktober, 2017.
Komen