KRISIS yang sedang melanda Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sehingga mengancam pembatalan pendaftaran persatuan sekerja bagi sektor swasta terbesar di negara ini, bermula pada 2016 selepas diambil alih kepimpinan baharu.
Krisis itu juga berkaitan dengan langkah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk meminda dua undang-undang buruh yang mengasingkan ahli kesatuan sekerja dan aktivis buruh, termasuk MTUC.
Pembatalan pendaftaran MTUC akan menyebabkan kehilangan hampir sejuta suara kolektif pekerja yang selama ini secara konsisten bercakap bagi kepentingan mereka, termasuk gaji dan situasi bekerja.
MTUC juga menyediakan peguam kepada pekerja yang terbabit dalam perbalahan dengan majikan mereka.
Selepas satu siasatan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), pada 20 Disember agensi itu mengeluarkan surat menggantung operasi MTUC selama 30 hari dan dalam tempoh berkenaan, kesatuan itu perlu bertemu dengan RoS.
Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata kumpulan itu akan bertemu RoS pada 26 Disember bagi menjelaskan mengapa ia tidak mengadakan mesyuarat yang mencukupi dan mengulas berkenaan tuduhan salah urus.
“Kami ada alasan yang kukuh,” katanya ketika ditanya sama ada benar atau tidak kepimpinannya tidak mengadakan mesyuarat majlis am yang mencukupi.
Solomon enggan mendedahkan alasan berkenaan tetapi difahamkan sebahagian daripada mereka bimbang legitimasi kesatuan sekutu di bawahnya.
Berikut penjelasan ringkas krisis itu.
1) Apakah mesyuarat majlis am dan mengapa ia penting?
J: Majlis am ialah badan pembuat keputusan tertinggi MTUC. Ia terbentuk daripada 220 ahli persatuan sekutu dalam MTUC.
Persatuan-persatuan sekutu ini daripada semua sektor industri dalam ekonomi, daripada pembuatan hinggalah perkhidmatan dan perladangan. Setiap sekutu memilih wakil untuk ke majlis am MTUC.
Menurut perlembagaan MTUC, ia perlu mengadakan mesyuarat majlis am sekali dalam setiap dua bulan.
Bekas setiausaha agung MTUC N Gopal Kishnan mendakwa kepimpinan sekarang tidak mengadakan mesyuarat majlis am yang mencukupi sejak 22 bulan lalu.
Solomon mendakwa Gopal Kishnan, yang tewas pada pemilihan MTUC 2016, melakukan cubaan untuk merendahkan kepimpinan semasa.
2) Apa kemungkinan sebab mesyuarat am tidak diadakan?
J: Dalam kenyataan 16 Disember, Solomon berkata mesyuarat majlis am diadakan secara konsisten hinggalah ia mendapati sebahagian rakan sekutu “memalsukan keahlian mereka”.
Kes itu masih di peringkat Mahkamah Rayuan tetapi selepas mendapatkan khidmat peguam, kepimpinan MTUC memutuskan untuk mengadakan mesyuarat majlis am pada hujung Disember.
3) Apa kaitan pentadbiran PH dalam krisis ini?
J: Perpecahan berlaku dalam persatuan itu susulan langkah Kementerian Sumber Manusia untuk meminda Akta Perhubungan Industri 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.
Perubahan itu akan memberi lebih kebebasan kepada pekerja untuk membentuk atau menyertai persatuan pilihan mereka, dan membenarkan persatuan ditubuhkan di mana-mana syarikat atau industri dan mengehadkan campur tangan kerajaan.
Kepimpinan MTUC membantah perubahan itu, mendakwa ia akan melemahkan pergerakan kesatuan itu kerana ia akan membawa kepada “kepelbagaian persatuan”. – 24 Disember, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen