Penyokong Dong Zong tidak endah amaran batal himpunan anti-Jawi


Angie Tan

Dong Zong desak keputusan mengajar Jawi di sekolah vernakular ditentukan oleh lembaga sekolah, bukannya PIBG sebagaimana diputuskan kementerian. – Gambar EPA, 24 Disember, 2019.

TIDAK peduli dengan peringatan berulang-kali oleh pemimpin politik, NGO Cina akan menghadiri perhimpunan anjuran Dong Zong pada Sabtu ini untuk menyatakan pendirian mereka berhubung isu pengajaran Jawi dalam sukatan Bahasa Melayu.

Mereka menggesa semua pihak tidak mempolitikkan isu itu, sambil menambah yang tujuan kongres hanya untuk menyuarakan bantahan terhadap langkah itu.

“Pengkritik mungkin tidak memahami tujuan acara ini tetapi kami pasti akan menghadiri persidangan ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Sekolah Cina Kedah (Dong Lian Hui), Ch’ng Chuwn Leong.

“Persidangan ini adalah untuk menghilangkan keraguan yang ada pada orang ramai berhubung isu ini. Kami tidak bersikap perkauman, jadi apa yang kami takutkan?” Katanya.

Ch’ng menjelaskan, kongres itu juga untuk menangani keputusan Kementerian Pendidikan yang menerima banyak kritikan.

Beliau menjelaskan tujuan kongres itu bukan untuk menentang pengenalan Jawi, tetapi terhadap keputusan Kementerian Pendidikan mengenai perkara itu.

“Kementerian memutuskan yang persatuan guru ibu bapa (PIBG), ibu bapa dan kanak-kanak akan membuat keputusan. Jadi, jika 51% mengundi untuk memihak, yang lain akan dipaksa mematuhinya dan ini akan mewujudkan konflik dan ketidakharmonian di sekolah,” katanya.

Dong Zong atau Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia menuntut agar keputusan mengajar Jawi di sekolah vernakular harus terletak pada lembaga sekolah, bukannya PIBG sebagaimana diputuskan oleh kementerian.

Sekurang-kurangnya 50 orang dijangka hadir di Kolej New Era, Kajang.

Presiden Persekutuan Persatuan Alumni Universiti Taiwan di Malaysia Lawrence Ting Siew Haw memberitahu The Malaysian Insight kongres itu tiada hubungan dengan bangsa dan agama tetapi lebih berkaitan dengan budaya.

“Saya fikir kita harus menghormati budaya masing-masing, sama seperti ketika mereka mengadakan Kongres Maruah Melayu, dan kita menghormatinya,” katanya sambil menambah hanya berjuang untuk hak mereka.

Ting berkata beliau akan hadir jika acara itu tidak dibatalkan.

Pengerusi Federation of Seven Clan Associations, Steve Chong Yoon On berkata kongres itu berfungsi sebagai platform untuk membincangkan perkara itu secara aman, maka ia tidak sepatutnya dipolitikkan.

Chong berkata beliau akan menghadiri acara itu untuk sebagai tanda sokongannya.

Pengerusi Persatuan Guru Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Jiao Zong), Ong Chiow Chuen berkata kongres itu akan dilaksanakan seperti dirancang dan dijadualkan berlangsung antara pukul 12 tenghari hingga 1 petang pada Sabtu ini.

Mengulas mengenai kontroversi yang wujud susulan acara itu, Ong menjemput pengkritik datang dan menyaksikannya sendiri.

“Ini adalah perhimpunan aman. Kami tidak mahu ia memberi kesan kepada sekolah vernakular,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga memberi amaran kepada Dong Zong yang desakan mereka untuk mengadakan perhimpunan itu boleh menyebabkan kesan lain, seperti kumpulan pendesak Melayu membangkitkan semula gesaan mereka agar sekolah vernakular ditutup.

Pemimpin PAS Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri baru-baru ini memberitahu Dong Zong agar tidak meneruskan rancangan mengadakan kongres bantahan pengenalan modul Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Khairuddin juga menyeru polis campur tangan dalam rancangan kumpulan itu bagi menghalang kejadian yang serupa dengan rusuhan kuil Seafield pada 2017 daripada berlaku.

Presiden PKR Anwar Ibrahim mahu semua pihak terbabit dalam pertikaian Jawi, termasuk Dong Zong, kembali ke meja rundingan menjelang kongres bantahan isu itu pada Sabtu ini.

Dalam satu kenyataan semalam, ahli Parlimen Port Dickson memberi amaran yang kontroversi melingkari gerakan itu boleh mencetuskan sentimen politik dan perkauman.

Beliau berkata semua pihak yang merancang sebarang acara perlu membatalkannya dan berbincang mengenai perkara itu. – 24 Disember, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen