RAKYAT Malaysia jangan tunduk pada ancaman parti politik yang mempunyai kepentingan peribadi, kata aktivis Siti Kasim.
Beliau merujuk kepada amaran daripada pemimpin politik terhadap NGO pendidikan Cina, Dong Jiao Zong supaya tidak membantah keputusan Kabinet untuk memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah rendah vernakular.
Pemimpin PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri baru-baru ini mengesa Dong Zong membatalkan kongres bagi membantah pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4.
Khairuddin juga berkata polis perlu mengambil langkah segera supaya kejadian rusuhan di kuil Seafield pada 2017 tidak berulang.
“Perlukah kita rakyat Malaysia takut dengan ugutan parti politik yang mempunyai kepentingan sendiri?
“Kita tak perlu tunduk pada ugutan mereka,” kata Siti pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau juga menunggu apakah tindakan polis dalam perkara ini.
“Dia (Khairuddin) sudah melanggar Kanun Keseksaan. Itu satu kesalahan,” katanya.
Menurut Siti, polis boleh mengambil tindakan tanpa perlu menunggu laporan polis dibuat kerana kenyataan Khairuddin itu sudah boleh dianggap sebagai satu ancaman. – 23 Disember, 2019.
Komen