PRESIDEN Korea Selatan Moon Jae-in berlepas ke China pada Isnin untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, antara lain perbincangan akan menumpukan kepada isu proses damai Korea.
Agensi berita Yonhap melaporkan lawatan berkenaan juga sempena sidang kemuncak tahunan antara tiga negara di Asia Timur Laut itu.
Xi juga dijadual membangkitkan mengenai Sistem Pertahanan Anti-Peluru Berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) Amerika Syarikat di Korea Selatan.
Moon pula dijangka mengesahkan semula keputusan kerajaannya untuk terus meningkatkan hubungan Seoul-Beijing.
Selepas jamuan tengah hari dengan Xi, Moon akan berlepas ke Chengdu, di wilayah Sichuan, lokasi berlangsungnya sidang kemuncak itu.
Sebelum ini, menteri perdagangan dari tiga negara kuasa serantau itu telah mengadakan rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas tiga hala di Beijing pada Ahad dan bersepakat mempercepatkan perbincangan berkenaan.
Pada Selasa pagi, Moon, Li dan Abe dijadual mengadakan sidang kemuncak yang pertama selepas pertemuan di Tokyo pada Mei tahun lepas.
Moon kemudian akan mengadakan perbincangan empat mata dengan Abe pada sebelah petang, untuk mencari penyelesaian serta memulihkan semula hubungan yang terjejas akibat perang perdagangan serta isu sejarah lampau bersama.
Kerajaan Jepun dilaporkan berkata pada Jumaat telah melonggarkan sekatan eksport terhadap Korea Selatan.
Pejabat Presiden Korea Selatan menyifatkan langkah itu memberi “sedikit kemajuan” tetapi masih banyak usaha diperlukan. – Bernama, 23 Disember, 2019.
Komen